Hangat diperkatakan sejak petang semalam lagi berkenaan tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC susulan tindakan pasukan itu ‘tidak hadir’ pada aksi Piala Sumbangsih melawan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lepas.
Empat hukuman yang diputuskan MFL adalah seperti berikut:
1. Denda sebanyak RM100,000.
a. Wang denda ini akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.
2. Bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL.
a. MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.
3. Pemotongan tiga (3) mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.
4. Perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan dimainkan tanpa penonton.
a. Operasi perlawanan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama antara MFL dan Selangor FC dengan syarat kemasukan wakil-wakil terpilih kedua-dua kelab yang akan diselaraskan untuk kehadiran pada hari perlawanan.
Artikel berkaitan: “Keutamaan ketika ini adalah nyawa” – Sultan Selangor Perkenan Selangor FC Tidak Hadir Ke Piala Sumbangsih
Artikel berkaitan: JDT Kecewa Keputusan Selangor FC, Harap Pertimbang Semula Isu Tidak Hadir
Altimet tawar diri bantu Selangor FC
Penyanyi rap yang juga ADUN Lembah Jaya, Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 46, telah menawarkan diri untuk membantu kelab bola sepak tersebut membayar denda RM100,000.
Altimet berkata, dia akan menyumbangkan separuh daripada hasil kutipan royalti harta intelek miliknya tahun ini bagi membantu pasukan berkenaan membayar denda.
Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini utk bantu bayar denda ni, jika SFC sudi. #SELANGORSAMPAIMATI https://t.co/JWMuh7LMr9 pic.twitter.com/K7h5LhslXH
— Altimet.eth (@altimet) June 25, 2024
Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bantu bayar denda ni, jika SFC sudi,” tulisnya di X.
Di posting itu juga, penyanyi yang terkenal dengan lagu Amboi ini meletakkan tanda pagar #Selangorsampaimati bagi menunjukkan sokongan sepenuhnya terhadap kelab bola sepak tersebut.
Perkongsian itu juga mendapat sokongan netizen yang juga memberi idea agar pihak SFC membuka tabung derma bagi netizen membantu membayar denda.