Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, Alif Teega dan Aisyah Hijanah, masing-masing mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan salah guna kutipan derma.
Kedua-duanya membuat pengakuan tersebut di hadapan hakim di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pagi Isnin.
“Saya mohon dibicarakan,” kata Alif dan Aisyah.
Menurut laporan, penyalahgunaan dana awam itu didapati berlaku bermula Mei 2021 sehingga Julai lalu dengan anggaran lebih RM1.5 juta.
Antara pertuduhan salah guna dana awam adalah bertujuan infak kurma, infak Al-Quran, infak pek makanan bagi fakir miskin, bantuan mangsa banjir selain sedekah pakaian raya untuk anak yatim.
Artikel berkaitan: Alif Teega Didakwa Salah Guna Lebih RM60K Infaq Korban, Iftar di Mekah, Syria & Palestin
Artikel berkaitan: Aisyah Hijanah Failkan Cerai Terhadap Suaminya, Alif Teega
Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, Alif Teega dan Aisyah Hijanah hadapi 10 tuduhan salah guna kutipan derma RM1.6 juta.
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) September 23, 2024
Jika disabit kesalahan bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dihukum bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan serta denda.
Susulan itu, pihak pendakwaan dan tertuduh bersetuju untuk membayar ikat jamin sebanyak RM50,000 setiap seorang dengan syarat.
Setiap tertuduh perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap bulan sehingga selesai dan tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi. Kes akan dibicarakan pada tarikh baharu iaitu 27 November depan.
Jumaat lalu, Alif mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan salah guna harta bagi program infaq iftar di Makkah, Syria dan Palestin serta ibadah korban berjumlah RM63,605.48 pada April serta Jun lalu.
Sumber: mStar