Baru-baru ini, tular sebuah kontroversi tentang air terjun popular di negara China kerana ada pengunjung yang mendakwa bahawa air terjun tersebut sebenarnya bukan air terjun semula jadi.
Dakwaan itu tercetus setelah pengunjung tersebut menemui paip air yang tersembunyi di celah-celah batuan air terjun terbabit.
Air terjun tersebut terletak di Yuntai Geopark dan difahamkan, air terjun itu merupakan air terjun yang popular di negara itu dan ramai pengunjung ke Geopark terbabit untuk melihat keindahan air terjun berkenaan.
Namun, seorang pengunjung taman itu baru-baru ini mendapati bahawa air terjun tersebut mengalir dari paip yang tersembunyi di celah-celah batuan air terjun.
Artikel Berkaitan: “Tak tahu nak travel mana?” – Ini 7 Tempat Percutian Murah & Best Yang Ada Di Malaysia
Artikel berkaitan: “Bawak anak bini healing dulu” – Muse Tiba Di Malaysia, Netizen Teruja Tengok Mereka Bercuti Di Langkawi
Video penemuan paip tersebut kemudiannya telah dikongsikan di platform media sosial negara China dan telah tular dalam kalangan warganet mereka.
Setelah tercetusnya kontroversi air terjun ‘palsu’ itu, pihak pengurusan taman geopark itu menjelaskan menerusi media sosial Weibo bahawa paip di air terjun setinggi 312 meter itu telah diletakkan di situ sebagai penambahbaikan untuk air terjun itu ketika musim kemarau.
Ini kerana ketika musim kemarau, air terjun itu tidak mengalir deras seperti biasa, jadi pihak pengurusan taman itu memasang paip berkenaan agar pengunjung tidak kecewa jika datang ketika musim kemarau.
Kiranya, air terjun tu memang semula jadi, tapi ketika kemarau, air tak banyak jadi terpaksalah letak paip air agar tetap mengalir cantik ketika musim tersebut.
Difahamkan juga, air yang digunakan oleh pihak taman untuk pam air ke air terjun tersebut juga diambil dari sumber mata air sebelum disalurkan ke air terjun itu menggunakan paip, jadi pihak taman menjelaskan bahawa ia tidak akan merosakkan kecantikan alam semula jadi geopark itu.
Setelah penjelasan itu dibuat, rata-rata warganet China memahami keadaan yang dialami oleh air terjun itu, namun dalam masa yang sama, ramai juga yang berpendapat pihak geopark seharusnya menjelaskan perkara sebenar dari awal agar pengunjung tidak rasa tertipu.