Siapa sangka kawasan bersejarah yang dahulunya indah dan menjadi tumpuan para pelancong kini musnah akibat kerakusan manusia…
Air Terjun Dakota, Gua Musang, Kelantan sebelum ini merupakan tempat bersejarah yang mempunyai nilai sejarah dan warisan tersendiri. Nama ‘Dakota’ itu diambil bersempena dengan nama pesawat British Dakota KN630 yang terhempas pada 25 Ogos 1950 sehingga telah mengorbankan kesemua anak kapal iaitu sebanyak 12 orang.
Namun begitu, tempat bersejarah itu kini dikatakan telah musnah dan lubuknya menjadi cetek akibat pembukaan jalan balak sejak tahun 2016.
Menurut perkongsian di laman Twitter oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), kawasan yang berlokasi di dalam Hutan Simpan Balah, Gua Musang ini dikatakan terdapat kongsi balak berlesen yang sah tidak jauh daripada air terjun tersebut.
Pun begitu, ia didakwa tidak dipantau secara baik dan tidak mengikut spesifikasi Manual Perhutanan JPSM Jilid I-III & MC&I dengan perincian berikut:
- Jalan laluan balak tidak dibuat di luar kawasan zon rizab sungai/ penampan sungai/ alur air
- Tiada pembinaan jambatan yang sepatutnya dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan tujuan untuk mengurangkan hakisan, memudahkan pergerakan aliran air dan hidupan akuatik.
Menurut orang asli tempatan di kawasan tersebut, tiada langkah tambah baik yang dibuat sehingga ke hari ini oleh pihak kontraktor mahupun Jabatan Perhutanan walaupun dikatakan sepatutnya Laporan Pemantauan Hutan perlu dijalankan oleh mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memastikan kawasan tersebut teratur dan terkawal.
Semoga tindakan yang sepatutnya diambil oleh pihak bertanggungjawab agar lepas ni tiada pula tempat pelancongan lain yang terjejas akibat aktiviti pembalakan ini.