Semalam, satu insiden tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang dilaporkan menyebabkan dua buah kenderaan tertimbus di dalam runtuhan tersebut.
Menurut Utusan Online, difahamkan kenderaan yang tertimbus ialah sebuah lori kecil dan kereta jenis Toyota Alphard (Vellfire).
Sekitar usaha mencari dan menyelamat semalam, polis mengesahkan terdapat dua mangsa yang tertimbus di dalam runtuhan tersebut dan mereka ialah pemandu Vellfire yang dikenali sebagai Tan Chee Heng berusia 36 tahun.
Mangsa kedua pula ialah Muhammad Hafiz, 31, yang mana mayatnya berjaya dikeluarkan dari kawasan tanah runtuh pada jam 10.50 malam selepas 10 jam operasi.
“Naluri memberitahu saya, adik tertimbus”
Menurut Harian Metro, abang kepada Muhammad Hafiz iaitu Muhammad Kamal Hamdi, 40, berasa amat sedih dengan kehilangan adiknya dan seperti sudah mendapat naluri bahawa adiknya salah seorang mangsa runtuhan tersebut.
Naluri memberitahu saya, adik tertimbus hidup-hidup di bawah runtuhan tanah apabila dia tidak menjawab sebarang panggilan (telefon) dan mesej saya,” katanya.
Katanya lagi, lazimnya dia seperti selalu akan mengemaskini mengenai sebarang kejadian tanah runtuh atau kemalangan jalan raya kepada adiknya dalam group chat keluarga pada telefon bimbit.
“Saya sudah maklumkan kejadian tanah runtuh itu dalam group chat tetapi dia tidak menjawab, biasanya dia yang pertama membalas mesej saya.
“Saya cuba menghubunginya berulang kali tetapi dia tidak mengangkat telefonnya. Dari situ, saya tahu ada sesuatu yang berlaku kepada adik saya,” kata Muhammad Kamal.
“Betullah, salah seorang mangsa ialah adik saya”
Menurut Muhammad Kamal, dia membaca begitu banyak berita yang viral mengatakan adiknya sudah meninggal dunia dan ada pula yang mengatakan masih hidup sehingga dia sendiri pergi ke tempat kejadian.
“Saya baca begitu banyak berita yang tular mengatakan adik saya sudah meninggal dunia, ada yang kata masih hidup.
“Oleh kerana tidak berpuas hati, saya pergi sendiri ke kawasan tanah runtuh dan bertanya sendiri kepada anggota bomba.
“Betullah, salah seorang mangsa ialah adik saya. (Hubungan) kami sangat rapat, dia seperti kawan baik saya, adik saya,” katanya ketika ditemui di lokasi semalam.
Mayat Muhammad Hafiz telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paut Tanjung Piandang, Kerian.
Mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua anak yang masing-masing berusia 2 tahun dan bayi yang baru lahir.
Takziah buat keluarga mangsa yang terlibat. Semoga tabah hadapi dugaan ini.
Baca: “Bestnya! Tapi tu la…” – Ramai Bimbang ‘Side Effect’ Projek Theme Park di Cameron Highlands