Dua orang doktor pakar yang mempunyai kepakaran lebih 60 tahun dalam bidang perbidanan termasuk pernah mengendalikan lebih 8,000 kes bersalin didapati bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan selepas meninggalkan pesakit yang mengalami pendarahan kritikal, hanya untuk keluar minum.
Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama tiga lagi jururawat, perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita dalam kes kecuaian perubatan menyebabkan kematian mangsa ketika menerima rawatan.
Punita, 36, meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat pendarahan selepas bersalin pada 9 Januari 2019.
Artikel berkaitan: 2 Kaki Hilang Sebab Kecuaian Doktor Bedah, Penjawat Awam Tuntut Ganti Rugi RM55 Juta
Artikel berkaitan: Kes Terpotong Zakar: Mangsa Hanya Dapat Ganti Rugi RM123,556 Berbanding Tuntutan RM3.1 Juta
Dalam kejadian itu, Punita yang melahirkan anak keduanya mula mengalami pendarahan yang banyak selepas plasentanya dikeluarkan secara manual.
Dr Ravi memberi jaminan bahawa Punita stabil dan meletakkan mendiang di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar untuk memantau keadaan pesakit sebelum meninggalkan klinik untuk keluar minum.
Dr Shanmugam juga turut keluar dari bilik bersalin dan meninggalkan mendiang dalam jagaan dan pengawasan tiga jururawat yang sama.
Apabila ibu Punitha memasuki bilik bersalin, dia mendapati anak perempuannya mengalami pendarahan yang banyak, manakala jururawat cuba menghentikan pendarahan itu menggunakan kapas. Kedua-dua doktor terbabit pula tidak hadir pada saat kritikal ini.
Dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang namun keadaannya sudah kritikal kerana telah hilang banyak darah dan mengalami pembekuan intravaskular (DIVC).
Walaupun pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, namun Punita meninggal dunia dan meninggalkan dua anak kecil.
Hakim Mahkamah Tinggi Klang, Norliza Othman menyebut doktor berkenaan gagal bertindak segera dan menangguhkan pemindahan pesakit ke hospital yang dilengkapi peralatan untuk mengendalikan kes kecemasan sedemikian.
“Walaupun mereka memiliki pengalaman luas dalam bidang perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi yang biasa dikaitkan dengan bersalin, seperti eklampsia, masalah berkaitan plasenta yang membawa kepada PPH.
“Kedua-dua mereka keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan mendiang bebas daripada komplikasi. Jururawat yang tidak terbukti mempunyai kelayakan yang sepatutnya, dibiarkan menguruskan pesakit.
“Kecuaian kolektif defendan secara langsung menyumbang kepada kecederaan parah terhadap mangsa, yang membawa kepada kematiannya,” katanya.
Tegas Hakim Norliza, peristiwa tragis ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua doktor mengambil tindakan pantas dan memantau keadaannya dengan teliti dan tidak meninggalkan mangsa dalam jagaan jururawat.
Sumber: Berita Harian