in

“Abah, kalau mati masa kecil boleh masuk syurga?” – Kata-kata Arwah Abdul Fattah Kepada Bapanya Undang Sebak

Abdul Fattah

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Hati seorang bapa luluh apabila anak lelaki tunggalnya, Abdul Fattah Khairul Rizal, 9, yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, pernah meluahkan hasrat ingin meninggal dunia ketika masih kecil kerana mahu terus ke syurga.

Bapanya, Khairol Rizal Mustafar, 42, berkata kata-kata arwah pernah berulang kali kedengaran sebelum ini, namun dia tidak pernah menyangka itu menjadi petanda pemergian anaknya.


“Dia pernah tanya saya, kalau budak meninggal masa kecil boleh terus masuk syurga ke? Katanya, kalau begitu, dia nak meninggal masa kecil.

“Saya ingat dia bergurau, saya cuba alih topik, tanya apa cita-cita dia bila besar nanti. Dia cuma senyum dan kata tak tahu. Rupanya dia benar-benar nak ‘pergi’ dulu,” katanya.

Abdul Fattah
Khairol Rizal menunjukkan gambar kenangannya bersama arwah.

Artikel berkaitan: Murid 9 Tahun Maut Jatuh Dalam Lubang Kumbahan, KPM Arah Siasatan Segera

Artikel berkaitan: Berkedalaman 1.8 Meter, Murid Tahun 3 Maut Jatuh Dalam Saluran Kumbahan Di Sekolah

Khairol yang juga Imam 2 Masjid Khairiah menceritakan, dia turut berada di sekolah berkenaan kerana memegang jawatan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sempena kejohanan olahraga yang dirasmikan ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin.

Namun suasana tiba-tiba bertukar cemas apabila terdengar berita ada seorang murid terjatuh ke dalam lubang kumbahan.

“Saya bergegas cari anak-anak saya di padang. Jumpa anak ketiga, lega. Tapi bila cari Abdul Fattah, tak nampak.

“Saya tanya kawan dia, Naufal. Dia jawab, ‘Ustaz, Abdul Fattah tak ada’. Masa tu memang jantung saya jatuh, rasa tak sedap hati,” katanya.

Tidak lama selepas itu, seorang guru memaklumkan mangsa adalah Abdul Fattah sendiri. Arwah ditemui tidak sedarkan diri selepas hampir 10 minit terperangkap di dasar lubang sebelum berjaya dikeluarkan penduduk.

“Masa saya sampai, dia dah dibawa naik. CPR dibuat lama, doktor pun ada cuba sedaya upaya, tapi akhirnya mereka kata anak saya dah tiada. Air dah terlalu banyak masuk dalam badan dia,” katanya.

Difahamkan, arwah tidak terlibat dalam mana-mana acara sukan hari itu kerana tidak terpilih dalam saringan, namun tetap hadir ke sekolah untuk memeriahkan program.

“Saya sendiri tak tahu kenapa dia berlari ke kawasan belakang bangunan itu… hanya Allah saja yang tahu. Saya serahkan siasatan sepenuhnya kepada polis,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.