Hutan tropika terbesar di dunia, Amazon kini sedang mengalami kemusnahan paling teruk dalam sejarah.
Sejak tiga minggu lalu, hutan yang kaya dengan kepelbagaian spesies hidupan itu terbakar teruk — sehingga mengakibatkan bandar Sao Paulo di Brazil bergelap diselubungi kabut hitam tebal, umpama Gotham City.
Kebakaran hutan yang disebut-sebut sebagai Earth’s Lungs ini, tidak mendapat banyak liputan media-media antarabangsa — sedangkan hutan hujan ini sebenarnya memainkan peranan besar kepada kehidupan umat manusia, dalam melambatkan kesan pemanasan global.
Di sinilah media sosial sepatutnya memainkan peranan, dalam menyebarkan kempen-kempen awareness kepada seluruh dunia — bahawa dunia bakal dilanda petaka besar, sekiranya kebakaran ini tidak ditangani dengan segera.
Peranan itu juga seharusnya dimainkan sebaik mungkin oleh rakyat kita, meski terpisah ribuan batu — tanggungjawab menjaga kelestarian alam sekitar, adalah tanggungjawab semua tanpa perlu memilih bangsa dan warganegara.
Ini sembilan fakta mengenai hutan Amazon, yang anda perlu ambil tahu — hasil perkongsian seorang pengguna Twitter, @The_X_Guy.
- Hutan hujan tropika terbesar di dunia
Sebanyak 60% daripada keluasan hutan ini terletak dalam negara meliputi Brazil, diikuti oleh Peru (13%), Colombia (10%) & negara-negara lain seperti Venezuela, Ecuador, Bolivia, Guyana, Suriname & French Guiana.
- Dikenali sebagai ‘Jantung Bumi’
Hutan ini menyumbang kepada 20% gas oksigen untuk planet kita. Bayangkan kalau ia musnah dan terbakar kesemuanya, sudah pasti ia boleh menyebabkan impak yang drastik kepada perubahan iklim bumi.
- Laporan kebakaran hutan meningkat dua kali ganda!
Menurut laporan Reuters dan Statista, setakat 21 Ogos 2019 — laporan yang dibuat tentang kebakaran Hutan Amazon adalah sebanyak 72,843. Berlaku peningkatan sebanyak 84% berbanding tahun lepas, hampir dua kali ganda meningkat!
- Terbakar angkara khianat manusia?
Menurut para saintis dan environmentalis, punca utama kepada kebakaran ini bukan disebabkan musim kering (walaupun kondisi tersebut boleh menggalakkan kebakaran). Tetapi punca utama adalah, manusia sendiri yang mencetuskan kebakaran tersebut terlebih dahulu.
- Dilucut jawatan kerana pertahankan Hutan Amazon
Jangan tak percaya, golongan environmentalis atau sesiapa yang cuba mengkritik negara Brazil kerana bersikap ‘acuh tak acuh’ dalam menangani isu kebakaran Hutan Amazon — ada yang telah dilucutkan jawatan, seperti Ricardo Galvao.
- Kebakaran mengakibatkan Sao Paulo ‘bergelap’
Pada 19 Ogos lalu, langit di Sao Paulo (bandar terbesar Brazil) tiba-tiba berubah menjadi gelap selama sejam akibat ketebalan asap yang berpunca daripada pembakaran Hutan Amazon. Lihat sahaja betapa gelapnya langit pada gambar di atas.
- Isu perubahan iklim jadi permainan politik?
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dan menterinya, memang masyhur dengan sikap skeptik mereka terhadap isu ‘climate change’. Bahkan, salah seorang Menteri Brazil berkata bahawa — isu ‘climate change’ adalah merupakan konspirasi Marxist!
- Perancis mahu bawa isu kebakaran Hutan Amazon dalam pertemuan G7
Ketegangan hubungan tampak jelas antara Presiden Brazil dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron. Hal ini kerana Macron berharap untuk membawa isu pembakaran Hutan Amazon untuk dibincangkan di sidang kemuncak G7, yang mana negara Brazil bukanlah ahlinya.
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro meluahkan kekecewaan terhadap tindakan Presiden Perancis itu menerusi laman Twitter beliau. Bahkan berkata, ini hanya merupakan gerakan demi meraih kepentingan politik peribadi.
- Mula bertindak!
Ketahuilah, isu pembakaran Hutan Amazon ini sudah berada pada tahap yang kronik. Kalau ia tidak diselamatkan dan tiada pemimpin yang berani bersuara, kita bakal melangkah ke fasa perubahan iklim yang sangat drastik dalam sejarah. Ingat, 20% oksigen Bumi tu.
So, apa yang kita boleh buat?
Tanam pokok pun dapat pahala sebenarnya, kerana ia akan mengeluarkan gas oksigen untuk dinikmati semua orang — umpama kita melakukan sedekah secara berterusanlah kiranya.
Mudah kan? Kalau bukan sekarang, bila lagi kita nak bertindak?