KPDN rekodkan sebanyak 896 kes penguatkuasaan yang melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM99,800 serta sitaan bernilai RM32,015.70 sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 baru-baru ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, merakamkan penghargaan beliau atas sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam memastikan pelaksanaan skim tersebut berjalan dengan lancar.
Tambahnya lagi, inisiatif yang berlangsung selama 15 hari bermula dari 14 hingga 28 Mac itu berjaya mencapai tujuan utamanya, iaitu memastikan rakyat mampu untuk membeli barangan keperluan pada harga yang lebih terkawal ketika musim perayaan.

Dalam usaha memastikan harga kekal stabil sepanjang musim perayaan baru-baru ini, KPDN telah mempergiat pemantauan di seluruh negara dengan melaksanakan 13,194 pemeriksaan, meningkat berbanding 7,258 pemeriksaan pada tahun lalu.
Menurut kenyataan KPDN, pemeriksaan yang dijalankan merangkumi semua peringkat rantaian termasuk pengeluar, pemborong dan peruncit bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan sepanjang SHMMP.
Hasil pemantauan mendapati kesalahan paling ketara adalah kegagalan mempamerkan tanda harga khas berwarna merah jambu, dengan 892 kes direkodkan melibatkan kompaun sebanyak RM99,800.
Artikel berkaitan : KPDN Bakal Sekat Penggunaan Kad Kredit & Debit Asing Bagi Pembelian Petrol RON95 Di Stesen Minyak Bermula 1 April
Artikel berkaitan : [VIDEO] Ahli Keluarga Warga Emas Serang Peniaga, Desak Mangsa Beli 1 Perkakas Dapur Bernilai RM4,700
Selain itu, terdapat juga empat kes lain melibatkan kesalahan seperti tidak meletakkan tanda harga dan kesalahan menjual melebihi harga maksimum. Sepanjang tempoh sama, nilai sitaan yang direkodkan berjumlah sebanyak RM32,015.70.
Tambah Azman, walaupun tindakan penguatkuasaan meningkat, majoriti peniaga dilaporkan masih mematuhi peraturan yang ditetapkan, khususnya bagi 27 jenis barangan terkawal di bawah skim ini.
“Pelaksanaan SHMMP ini dilihat mampu untuk membantu memastikan pengguna terus mendapat bekalan barangan keperluan pada harga yang berpatutan”
Beliau turut menjelaskan bahawa faktor luar seperti konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah, gangguan rantaian perdagangan antarabangsa serta peningkatan kos logistik dan import makanan telah memberi impak yang besar terhadap kos pengeluaran.
Secara keseluruhan, pelaksanaan SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2026 ini disifatkan berjalan dengan baik serta telah mencapai matlamatnya, berdasarkan pemantauan kementerian dan maklum balas positif yang diperoleh daripada orang ramai.
KPDN juga akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan harga dan bekalan barangan keperluan kekal terkawal serta memastikan pengguna tidak terkesan akibat penetapan harga yang melampau.
Sumber : KPDN
