Nama besar seperti Beyonce dan Serena Williams bukan sahaja terkenal di Amerika Syarikat malah begitu tersohor di seluruh dunia. Namun jangan tak tahu, negara kita juga ada wanita-wanita hebat seperti ini yang popular dan cukup dikenali di luar negara.
Ini lapan wanita Malaysia yang terkenal di luar negara dan menjadi kebanggaan Malaysia:
1. Yasmin Ahmad
Walaupun telah meninggalkan kita semua 9 tahun yang lalu, karya-karya arwah Yasmin Ahmad masih diingati ramai hingga ke hari ini. Iklan dan filem yang dihasilkan telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa. Sepet hasil karyanya berjaya mengharumkan nama negara sebagai Filem Terbaik Asia di Festival Filem Antarabangsa Tokyo suatu ketika dulu. Sejak itu, karya dan nama Yasmin Ahmad dikenali ramai sehingga diabadikan dalam sebuah filem dokumentari berjudul Yasmin-San.
2. Michelle Yeoh
Nampak masih muda dan bertenaga, siapa sangka pelakon kelahiran Ipoh ini sudah mencecah usia 56 tahun. Pada tahun 1983, Michelle Yeoh memulakan kerjayanya apabila berjaya merangkul gelaran Ratu Cantik Malaysia. Banyak terlibat dalam produksi filem Hollywood, Michelle digelar Queen of Action kerana banyak berlakon dalam filem aksi seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon dan Guardians of the Galaxy Vol.2. Terbaru, Michelle tampil dalam siri televisyen Star Trek: Discovery sebagai Captain Philippa Georgiou.
3. Sheila Majid
Menembusi pasaran luar negara sejak awal pembabitannya dalam industri seni, Ratu Jazz Malaysia ini berjaya mengadakan konsert jelajah di Indonesia sebelum mengembangkan sayapnya di negara matahari terbit, Jepun. Sheila menjadi artis Malaysia pertama yang berjaya menempa nama di Jepun sewaktu membuat persembahan di Festival Musik Tokyo 1989. Selain itu, dia juga pernah membawa muziknya ke United Kingdom dalam sebuah konsert di London’s West Royalty Theatre.
4. Siti Nurhaliza
Bakal menimang cahaya mata perempuan tidak lama lagi, penyanyi nombor satu negara ini sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni. Mula menyanyi seawal usia 16 tahun, Siti pernah membuat persembahan di Indonesia, Singapura, Thailand, Taiwan, Brunei, China, Jepun, Kazakhstan dan United Kingdom. Siti juga pernah mengharumkan nama negara apabila mengada konsert solo bersempena 10 tahun pembabitan dalam bidang seni di Royal Albert Hall, London.
5. Nicol Ann David
Dilahirkan di Pulau Pinang, Nicol yang berketurunan Cina dan India sudahpun menduduki senarai 10 pemain terbaik dunia dalam arena squash pada usia 16 tahun lagi. Menjuarai pelbagai kejohanan di seluruh dunia, Nicol pernah dinobatkan menjadi wanita Asia pertama menduduki ranking nombor satu dunia dan mengekalkan rekod tersebut selama hampir 10 tahun lamanya. Wow!
6. Yuna
Yuna ataupun nama sebenarnya Yunalis Zarai mula dikenali dengan lagu Dan Sebenarnya suatu ketika dahulu dan pernah menyertai pertandingan nyanyian One in a Million. Penyanyi berbakat ini berjaya mencipta nama di Amerika Syarikat apabila menyanyikan lagu duet berjudul Crush bersama Usher pada tahun 2016. Terbaru, Yuna baru sahaja menamatkan zaman bujang dengan adik kepada pelakon Ashraf Sinclair, Adam Sinclair.
7. Soo Wincci
Pernah menjadi Miss World Malaysia pada tahun 2008, pelakon dan penyanyi ini mula popular di Taiwan selepas menyanyikan lagu untuk drama A Hint of You yang berjudul Bravery. Kini menggenggam gelaran doktor falsafah (PhD), Soo Wincci diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai ratu cantik pertama yang menerima gelaran tersebut.
8. Shila Amzah
Mula membuka mata dunia apabila memenangi rancangan realiti Asian Wave 2012, Shila kemudiannya mengikat kontrak dengan Shanghai Media Team Entertainment Group. Terkenal dengan lagu Patah Seribu, Shila sangat dikenali di negara China sehingga lagu tersebut dirakamkan dalam bahasa Mandarin. Masih aktif dengan aktiviti seni di China, Shila mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hati beberapa bulan yang lalu.
Waaah, cayalah! Wanita-wanita hebat ni memang boleh dibanggakan negara!
Baca: 10 Wanita ‘Pertama’ di Malaysia Yang Hebat Mencipta Nama