Semenjak dua menjak ini banyak kes perbalahan antara suami dan isteri yang tular di media sosial gara-gara suami curang dengan isteri mereka. Dalam situasi begini, rata-rata berkongsi pendapat masing-masing sehingga ada yang menyarankan wanita berkenaan untuk meminta cerai daripada suami.
Walau bagaimanapun, ramai juga yang menegah penceraian dan meminta agar isteri bersabar kerana isteri yang meminta cerai, tidak akan mencium bau syurga. Namun begitu, hal itu hanyalah terpakai apabila isteri meminta cerai tanpa sebab.
Menurut Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, jika seorang isteri mempunyai sebab yang munasabah, maka hukum meminta cerai adalah harus. Oleh itu, kami menyenaraikan 7 sebab munasabah yang membenarkan wanita meminta cerai daripada suaminya.
1. Apabila suami tidak tunaikan tanggungjawab sebagai mukmin
Para suami yang tidak menunaikan tanggungjawab wajib mereka sebagai seorang Islam dibolehkan untuk isteri meminta cerai daripadanya. Suami, selaku ketua agama di rumah sepatutnya melaksanakan tanggungjawab mereka supaya dapat membimbing isteri dan anak-anak untuk bersama-sama mengejar akhirat.
2. Apabila suami melarang menutup aurat
Perintah menutup aurat itu wajib dilakukan oleh semua muslimah termasuklah para isteri. Maka, seorang suami yang soleh haruslah menasihati isteri untuk menjaga aurat. Namun, sekiranya suami bertindak sebaliknya maka isteri boleh meminta untuk bercerai dengannya.
3. Apabila suami menzalimi isteri
Suami yang zalim, suka mendera isteri secara mental, fizikal, emosi dan seksual serta menyuruh isteri membuat perkara yang terlarang merupakan antara golongan suami di mana isteri dibenarkan memohon cerai daripadanya.
4. Apabila suami tidak memberi nafkah
Suami wajib menyediakan tiga perkara iaitu makan dan minum, pakaian dan tempat tinggal. Oleh itu, jika suami tidak dapat menyediakan tiga perkara ini, maka bolehlah isteri meminta penceraian. Haram bagi suami apabila isteri menyediakan segalanya kecuali jika isteri redha dan berniat membantu suami.
5. Apabila suami tidak pulang ke rumah tanpa alasan munasabah
Isteri dibenarkan memohon penceraian jika suaminya tidak pulang ataupun tidak mahu pulang ke rumah dalam satu tempoh yang lama tanpa alasan yang munasabah. Oleh itu, hal ini tidak termasuk jika suami mempunyai hal seperti mencari rezeki.
6. Apabila suami mempunyai penyakit bahaya
Sekiranya suami mempunyai penyakit berbahaya yang boleh menjangkiti isteri, maka dibenarkan untuk dia untuk meminta cerai. Penyakit seperti AIDS contohnya, jika dihidapi oleh suami sepatutnya tidak dijangkitkan kepada isterinya. Oleh itu, isteri dibenarkan untuk meminta cerai.
7. Apabila suami tidak mempunyai organ seks yang berfungsi
Seorang isteri berhak ke atas nafkah batin. Maka jika nafkah ini tidak dapat ditunaikan oleh suami kerana organ fizikal tidak berfungsi atau kehilangan zakar akibat kemalangan atau ditakdirkan tiada zakar sejak lahir maka isteri dibenarkan untuk meminta cerai.
Sememangnya lelaki mempunyai tanggungjawab yang besar apabila digelar seorang suami kerana mereka perlulah berperanan sebagai ketua keluarga yang selayaknya. Sesungguhnya syurga suami terletak pada tanggungjawab yang ada dibahunya.
Baca: Lelaki Sanggup Ceraikan Isteri Talak 3 Kerana Bercinta Dengan Isteri Orang Mengaku Janda