Siapalah artis tanpa peminat? Di sebalik jatuh bangun seorang anak seni, pasti ada kumpulan peminat yang telah menjadi nadi dan tulang belakang di atas perjuangan artis tersebut.
Sejak kebelakangan ini, kelab peminat artis di Malaysia kelihatan sangat aktif dengan mengadakan pelbagai aktiviti bagi meraikan idola yang mereka sayangi. Tidak cukup dengan itu, mereka juga telah menjadi keyboard warrior bagi mempertahankan artis kesayangan mereka daripada mendapat kutukan. Wah!
Berikut kami senaraikan tujuh kelab peminat artis yang paling berpengaruh di Malaysia:
1. Sitizoners
Ditubuhkan pada 13 tahun yang lalu, Sitizoners bermula dengan laman web Sitizone yang menyatukan peminat daripada seluruh dunia termasuklah di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan lain-lain.
Sokongan tidak berbelah bahagi peminat kepada artis nombor satu negara ini dapat dilihat apabila ahli Sitizoners sering menghadirkan diri ke segala majlis anugerah, konsert dan apa-apa saja acara yang melibatkan Dato’ Sri Siti Nurhaliza bersama kain rentang yang bertulis kata-kata semangat. Untung Tok Ti ada peminat macam ni kan?
Sungguhpun keharmonian kelab ini pernah goyah semasa perkahwinan Siti dan Datuk Khalid tidak lama dulu, namun ikatan mereka kini masih utuh dengan memegang frasa, ‘Datang berlindung waktu susah dan senang, tumpang berlindung waktu susah dan senang’.
2. Shilalas
Kelab peminat bagi artis yang sedang meningkat naik di China, Shila Amzah ini pernah terpalit dengan kontroversi. Pernah dikatakan lebih sudu daripada kuah, Shilalas patut diberikan pujian kerana mereka tetap menyokong penyanyi kesayangan mereka walaupun Shila sering dilanda kontroversi ketika di awal kemunculannya dalam dunia seni.
Apa yang menarik mengenai Shilalas ialah peminatnya bukan sahaja datang dari rantau nusantara ini, namun Shila juga mempunyai peminat di China dengan pengikut sebanyak 2.5 juta di Weibo, sebuah mikro blog popular di China. Wow hebat tu!
3. Aaronators
Kemunculan aktor kacak Aaron Aziz dari Singapura ini mula melonjak naik sejak drama seperti Emil Emilda dan Nora Elena mendapat sambutan hangat di kaca televisyen di Malaysia.
Sejak bertapaknya Aaronators, kelab ini telah menjadi antara kelab yang paling aktif dan kerap mengelola gerak gempur dan promosi sebagai sokongan kepada drama dan filem lakonan Aaron yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Atas dedikasi dan sokongan yang tidak berbelah bahagi yang diberikan Aaronators, Aaron Aziz pernah menggondol Anugerah Bintang Paling Popular sebanyak dua kali pada tahun 2011 dan 2013. Hebatnya Aaron sampai cemburu Zed Zaidi!
4. The FA Team
Sebut saja Fattah Amin, sudah pastinya ada yang mengaitkan pelakon ini dengan kelab peminat #LoFattah dan #Fattzura. Namun tiada siapa yang mengetahui kewujudan The FA Team, nadi dan tulang belakang pelakon kacak ini yang sebenar.
Ditubuhkan pada Disember 2012, kelab peminat ini telah menjadi medium yang mendekatkan peminat Fattah dari seluruh negara serta termasuklah di Singapura dan Brunei dengan menubuhkan FATeamSg dan FATeamBrunei.
Antara aktiviti yang pernah dianjurkan The FA Team termasuklah Meet and Greet Fattah Amin VS Mira Filzah, Meet and Greet Suri Hati Mr Pilot dan pengumpulan dana untuk anak-anak yatim Rumah Aman Darul Mustafa, Janda Baik.
Meskipun pernah melalui detik hitam seperti akaun rasmi Instagram peminat digodam, The FA Team tetap teguh dan menyokong kerjaya pelakon Fattah Amin. Mesti peminat Fattah tunggu aje pengumuman keramat 23 November ni kan?
5. AJ Screamer
Ayda Jebat patut berasa gembira dan bersyukur dengan adanya AJ Screamer yang rajin sekali membuat kejutan dan meraikan majlis hari lahirnya dengan penuh meriah. Ditubuhkan pada tahun 2015, AJ Screamer sudah mempunyai hampir 64,000 ahli berdaftar pada tahun 2016, lapor BERNAMA.
Sungguhpun Ayda begitu sibuk dengan urusan kerjayanya, dia tetap berusaha untuk meluangkan masa bersama peminat yang datang dari jauh seperti Indonesia, Brunei dan Singapura di setiap pertemuan kelab peminat tersebut.
Malah peminat Ayda juga dikatakan sanggup berhabis wang dan tenaga demi memastikan kejayaan penyanyi kesayangan mereka dalam mana-mana anugerah yang memerlukan undian peminat.
“Menjaga hati mereka (AJ Screamer) adalah antara agenda utama saya kerana mereka adalah tulang belakang saya,” katanya. Sayang betul Ayda dengan peminatnya!
6. Emavengers
Pernah mendapat kutukan oleh kerana kelab peminat Emma Maembong bernama Emavengers yang serupa dengan siri superhero The Avengers, Emma mengakui dia hanya mahu mencari kelainan.
Bagi peminat Emma, Emavengers adalah simbolik kepada askar yang sentiasa berada di belakang artis mereka, tidak kira di waktu susah mahupun senang. Wah bukan main sayang korang dengan Emma ye!
Sama seperti kelab peminat artis yang lain, Emavengers pernah mengadakan aktiviti seperti kejutan majlis hari lahir buat Emma serta majlis berbuka puasa bersama kelab peminat adik Emma sendiri, Cha Cha Lovers Fan Club.
7. Zizan’s True Fans
Zizan’s True Fans atau ZTF ialah kelab peminat Zizan Razak yang ditubuhkan daripada tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam. Bermula dengan Zizan’s Twitter Family, kelab ini telah ditubuhkan pada 19 November 2013 dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat di seluruh negara.
Kelab peminat ini pernah menganjurkan beberapa acara seperti Movie Day Out bersama Zizan, majlis iftar, Family Night with Zizan dan beberapa aktiviti yang menarik lagi.
Bagi yang ingin menyertai kelab ini, mereka akan mendapat kad keahlian istimewa dan boleh menghadiri majlis anugerah serta malam gala filem yang melibatkan Zizan Razak. Bertemakan, “A Legend Never Gives Up”, kelab peminat ini sentiasa teguh menyokong perjalanan kerjaya pelawak tersebut di pentas seni.
Tak sangka ramai juga peminat artis-artis ini. Untunglah selebriti ini ada die hard fans yang sanggup lakukan apa saja demi menyokong kejayaan mereka dalam dunia hiburan. Tanpa peminat, artis tersebut tidak mampu jadi sehebat sekarang.
Anda masuk kelab peminat yang mana? Kongsikan bersama kami tentang artis kesayangan anda!
Baca: Peminat Pengsan dan Terpaksa Ditenangkan Kerana Terlalu Teruja Dapat Bertemu Aiman Tino