Kes kematian pelajar sekolah menengah bernama Zara Qairina masih menjadi bualan hangat di media sosial yang mana orang ramai menantikan perkembangan terkini mengenai kes ini.
Menerusi sumber Sinar Harian, seramai 60 individu termasuk tiga nama yang didedahkan di media sosial iaitu Kak Wana, Kak Dedeng dan seorang tomboi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun yang mengatakan, siasatan kini telah berada di peringkat akhir yang mana kira-kira 60 saksi telah dirakam percakapan dan beberapa keterangan lain juga turut diambil.
Artikel berkaitan: Kes Zara Qairina: Ahli Parlimen Sangkal Dakwaan Kaitkan Isteri Dengan Kes Kematian Pelajar
Artikel berkaitan: “Fitnah ini berat” – YB Fadhlina Sidek Nafi Tak Buat Apa-apa Isu Kes Adik Zara Qairina
“Buat masa sekarang kertas siasatan telah kita bawa ke Bukit Aman untuk perhatian dan penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.
“60 saksi ini melibatkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah. Itu juga telah diambil kenyataan (tiga nama didakwa di media sosial), setakat ini (nama didakwa) memang ada, sebagai pelajar,” katanya.
Mengulas lanjut, Jauteh tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian tersebut.
“Sekarang ini siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kepada kematian dan juga persekitaran.
“Kita tidak menolak kemungkinan dakwaan ini (dakwaan buli) berdasarkan kepada siasatan yang kita laksanakan,” ujarnya.
Polis nafi ada penglibatan anak VIP
Sementara itu, beliau menafikan ada penglibatan ahli keluarga orang kenamaan termasuk dirinya sendiri dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak sihat.
“Saya nyatakan di sini bahawa tidak pernah ada anak saya yang bersekolah di sekolah itu.
“Saya tidak dapat mengetahui secara keseluruhan (jika ada anak wakil rakyat) sebab ramai pelajar di situ. Jadi yang itu, kita tidak membuat siasatan berkaitan ini anak siapa, ini anak siapa, tapi saya tegaskan bahawa saya tidak mempunyai anak yang pernah dan sedang bersekolah di sana.”
Mengulas mengenai persoalan orang ramai mengapa siasatan kes ini mengambil masa yang lama, beliau menjelaskan siasatan perlu ada ketelusan dan profesionalisme lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pelajar yang sedang melalui tekanan emosi.
Sebelum ini, Zara ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar pada 16 Julai lalu.
Pelajar Tingkatan 1 itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) keesokan harinya.
Sumber: Sinar Harian