Dalam tempoh artikel ini ditulis, kita hanya berbaki empat hari sahaja lagi untuk masuk ke tahun baharu, sepanjang tahun ini, bermacam-macam cerita dan insiden yang terjadi kita dapat lihat di alam maya.
Jadi, sebelum kita masuk tahun 2023, min nak recap cerita-cerita viral yang terjadi di Malaysia sepanjang tahun ini, ada yang ceritanya berlaku di luar, tapi mendapat perhatian dan menjadi bualan hangat warganet lokal.
1. Kematian Tangmo Nida
Kira-kira dalam Februari lalu, kematian aktres jelita dari Thailand, Tangmo Nida atau nama sebenarnya Nida Pataratida Pacharawirapong dilaporkan maut setelah terjatuh dari bot yang dinaikinya bersama lima individu di Sungai Chao Phraya dan mayatnya ditemui dua hari selepas insiden tersebut.
Sebanyak 29 saksi telah dipanggil oleh pihak polis untuk membantu siasatan dan sepanjang siasatan dilakukan, bermacam-macam spekulasi timbul dan teori paling popular adalah khianat daripada rakan baiknya iaitu Gatick Juthasuksawat bersama empat orang lagi rakan.
Waktu ini bermacam-macam perkara terjadi dan banyak rakaman video serta teori yang berlegar di media sosial, berita ini menjadi hangat dan mendapat liputan seluruh negara termasuklah di Malaysia. Boleh dikatakan ia adalah kematian paling sedih dan tragis untuk tahun ini.
2. Tragedi Itaewon
Bulan Oktober lalu, kemeriahan sambutan Halloween di bandar Itaewon, Seoul, Korea berubah menjadi tragedi hitam apabila berlaku rempuhan orang ramai ekoran dengan kepadatan manusia yang hadir ke lokasi tersebut yang tidak dapat dikawal.
Difahamkan punca kejadian rempuhan itu berlaku kerana lokasi untuk membuat sambutan Halloween di tapak sambutan itu tidak begitu strategik kerana kawasan itu dikatakan tidaklah begitu luas, difahamkan pengunjung yang hadir ke situ pada hari kejadian mencecah hampir 100,000 orang.
Maka, mulalah timbul kontroversi apabila ada yang mendedahkan rakaman panggilan pengunjung kepada pihak polis yang memerlukan pertolongan mereka kerana ada yang dah mula rasa sesak nafas, tolak menolak dan berlaku kekecohan, namun dikatakan pihak polis tiba lewat di lokasi.
Disebabkan itu, mereka dilabel kurang cekap kerana telah menyebabkan insiden tersebut menjadi sangat serius hingga seramai 158 dilaporkan maut akibat insiden tersebut.
3. Kes perbicaraan Siti Bainun
Isu pengabaian dan penderaan adik Bella kembali menjadi hangat pada tahun ini apabila pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dihadapkan ke mahkamah. Kes ini menjadi perhatian sehinggakan nama ‘Siti Bainun’ jadi trending di media sosial.
Umum mengetahui bahawa saat kisah adik Bella mula tular, remaja down syndrome itu ditemui melecur seluruh badan. Dalam perbicaraan, ada yang menyatakan bahawa ia disebabkan mesin penapis air namun saksi mendakwa ia adalah disebabkan termos tertumpah pada tubuh mangsa.
Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun membela diri terhadap dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella bermula Januari depan. Perbicaraan bela diri itu berlangsung selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari (sembilan hari) diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari (tujuh hari) dan 6 hingga 10, 27 hingga 30 Mac (sembilan hari).
4. Kes amang seksual PU Azman
Isu melibatkan kes gangguan seksual terhadap pendakwah nampaknya masih belum berpenghujung setelah rakyat Malaysia dikejutkan pendakwah selebriti terkenal, PU Azman berdepan beberapa pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun dan 19 tahun.
Terbaharu, PU Azman atau Azman Syah Alias, 41 dituduh atas pertuduhan ke-11 dan 12 iaitu melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, lima tahun lalu. Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
5. Tragedi rempuhan Stadium Kanjuruhan
1 Oktober 2022 merupakan satu detik hitam buat peminat bola sepak di Indonesia apabila berlakunya rempuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang mengorbankan lebih ratusan nyawa ketika perlawanan di antara kelab Arema dan Persebaya.
Difahamkan seramai 135 orang terbunuh dan 583 tercedera. Situasi panik bermula apabila pihak polis bertindak melepaskan gas pemedih mata sehingga menyebabkan ramai penonton lari bertempiaran mencari jalan keluar.
Selain itu, antara highlight yang terjadi pada tahun 2022 ini adalah LRT laluan Kelana Jaya ditutup seminggu, malah ada juga berita tergempar kematian penyanyi popular Adibah Noor, kejadian tanah runtuh di Batang Kali, banjir di Pantai Timur dan paling diingati adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Baca : Dipecat dari UMNO & Pernah Dipenjarakan, Ini Perjuangan DS Anwar Sebelum Jadi PM ke-10