Sekurang-kurangnya 27 orang dilaporkan cedera manakala lima orang telah maut dalam kejadian kren pembinaan runtuh di daerah Chom Tong, Bangkok, Thailand pagi semalam.
Memetik laporan BERNAMA, kren pembinaan di projek lebuh raya itu runtuh sekitar jam 1.40 pagi waktu tempatan.
Difahamkan, akibat kren tersebut yang runtuh, rasuk konkrit yang sedang dalam proses pembinaan turut jatuh sekali gus menghempap sebahagian struktur lebuh raya.
Pihak bomba dan penyelamat bandar Bangkok telah bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa-mangsa.
Artikel Berkaitan: 2 Pelancong China Maut Kereta Dihempap Pokok & Runtuhan Bangunan Selepas Ribut Di Pulau Pinang
Artikel Berkaitan: Tular Rakaman 5 Kenderaan ‘Tenggelam’ Di Seri Kembangan Akibat Tanah Mendap
Menurut Bangkok Post, seorang pekerja di lokasi kejadian mengatakan dia terdengar bunyi kuat dari struktur berkaitan sebelum ia runtuh ketika kontrit sedang dituang.
Lima mangsa yang maut adalah 3 orang warganegara Thailand (seorang jurutera dan 2 orang pekerja) dan 2 orang lagi ialah pekerja asing.
Manakala mangsa-mangsa lain yang cedera pula telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Pihak polis negara itu sedang menyiasat punca kejadian.
Sumber: BERNAMA, Bangkok Post