Zaman sekarang ni, perkataan feminis seolah-olah menjadi satu taboo. Feminisme sebenarnya adalah memperjuangkan semua jantina untuk mendapatkan kesamarataan hak dan peluang. Ia bukanlah satu gerakan membenci lelaki atau menjadikan wanita lebih baik dari lelaki.
Feminisme ini mula mendapat perhatian apabila ramai wanita dari barat mula memperjuangkan hak mereka selepas mereka disekat dari beberapa hak seperti mengundi dan bekerja. Namun begitu, gerakan feminisme ini telah pun berlaku lebih awal di serata dunia.
Jadi pada artikel kali ini, jom kita tengok beberapa pencapaian wanita-wanita sepanjang zaman yang telah mengubah sejarah dunia sekarang.
1. Jane Austen
Jane Austen telah mula menulis ketika dia remaja dan mengeluarkan sebanyak enam novel yang mendedahkan tentang kehidupan pada akhir 1700-an sehingga awal 1800-an. Empat daripada novelnya telah diterbitkan dalam masa empat tahun antara satu sama lain.
Antara novel-novel yang ditulisnya termasuklah Sense and Sensibility, Pride and Prejudice, Mansfield Park dan Emma. Manakala Northanger Abbey dan Persuasion telah diterbitkan selepas dia meninggal dunia pada usia 41 tahun.
Ketika dia hidup, Jane Austen telah menerbitkan bukunya secara rahsia jadi pada ketika itu, tak ada siapa yang tahu bahawa dia adalah penulisnya. Jadi, sepanjang dia hidup dia tak pernah diberikan kredit atas pencapaiannya sehinggalah kematiannya.
Kini, selepas beratus-ratus tahun, berjuta-juta orang di seluruh dunia telah membaca bukunya dan wajahnya juga turut diletakkan pada wang kertas 10 pound sebagai penghargaan terhadap pencapaiannya ini.
2. Florence Nightingle
Dilahirkan di Itali pada tahun 1820, Florence yang berasal dari keluarga kaya ini telah dilarang untuk menceburi kerjaya sebagai seorang jururawat.
Kerana ini, Florence telah berpindah ke London sebelum menerima sepucuk surat dari Setiausaha Perang memintanya untuk mengumpulkan orang untuk bekerja di sebuah tempat yang dipanggil Crimea ketika Perang Crimea dan bertugas menjaga askar-askar British. Ini merupakan kali pertama wanita dibenarkan untuk bekerja sebagai tentera secara rasmi.
Keadaan di Crimea terlalu teruk seperti katil tak cukup dan segala-galanya kotor. Tak ada tandas yang elok serta tikus merata-rata.
Apabila Florence tiba di sana pada November 1854, doktor tentera di sana tak mahu berurusan dengannya. Namun ia tak mematahkan semangat wanita ini, dia terus mula bekerja dengan membersihkan kawasan tersebut. Dia mula menyuruh askar-askar yang cedera ringan untuk membersihkan kawasan hospital.
Kemudian pada waktu malam, Florence akan berjalan di hospital dan memastikan askar-askar yang cedera berada dalam keadaan selesa.
Florence kemudiannya diangkat sebagai hero jururawat perang. Malah, dia turut menerima surat ucapan terima kasih dari Ratu Victoria atas apa yang dia telah lakukan.
Florence Nightangle telah mengubah kualiti penjagaan ketika perang dan seterusnya menambah baik penjagaan kesihatan di seluruh dunia!
3. Emmeline Pankhurst
Emmeline Pankhurst merupakan pengasas kepada sekumpulan wanita yang dipanggil Suffragettes, yang telah berjuang bagi mendapatkan hak wanita untuk mengundi di UK.
Biasanya mereka akan menggunakan keganasan dan taktik-taktik ekstrem untuk melakukan perkara ini. Malah, Emmeline juga banyak kali dipenjarakan.
Apabila Perang Dunia Pertama berlaku, Emmeline mula sedar yang dia perlu membantu dalam peperangan ini dan telah menggalakkan kumpulannya untuk buat perkara yang sama.
Ketika para lelaki keluar untuk pergi berperang, wanita-wanita seperti Emmeline mula membuat pekerjaan-pekerjaan yang ditinggalkan oleh lelaki.
Oleh kerana ini, mereka telah diberikan penghormatan dan sekaligus menunjukkan kepentingan wanita di dalam masyarakat.
Pada tahun 1918, satu undang-undang telah diluluskan membenarkan beberapa wanita hak untuk mengundi. Ini merupakan langkah besar dalam hak kesamarataan di antara lelaki dan wanita yang kita dapat nikmati hari ini.
4. Marie Curie
Marie Curie merupakan seorang saintis dari Poland dan mungkin antara saintis yang paling terkenal di dunia. Dia telah dilahirkan di Warsaw, Poland sebelum berpindah ke Perancis di mana dia telah menemui sesuatu yang mengubah dunia.
Di Perancis, Marie telah bertemu suaminya, Pierre yang juga seorang saintis. Mereka telah menjalankan kajian yang telah dibuat oleh saintis sebelum ini dan hasilnya, pasangan ini telah memenangi Nobel Prize pada tahun 1903.
Tak cukup dengan itu, Marie telah memenangi satu lagi Nobel Prize pada tahun 1911 dan menjadikan dia wanita pertama dalam sejarah dapat memenangi anugerah tersebut.
Apa penemuan terhebat tersebut? Pasangan suami isteri ini telah menemui satu elemen yang dipanggil radioaktiviti. Radioaktiviti berlaku apabila unsur kimia khas tertentu mengeluarkan zarah bertenaga apabila sebahagian daripadanya yang dipanggil nukleus terurai.
Daripada penemuan ini, mereka telah berjaya menemukan dua elemen kimia baru yang dipanggil polonium dan radium.
Hasilnya, penemuan mereka ini telah digunakan untuk mencipta radioterapi yang digunakan untuk merawat beberapa jenis penyakit. Selain itu, ia juga berjaya mencipta x-ray yang digunakan di hospital sekarang ini.
Ketika Perang Dunia Pertama, Marie telah berjaya mencipta unit x-ray bergerak yang boleh digunakan berhampiran medan perang.
5. Raden Ayu Kartini
Raden Ajeng Kartini atau Raden Ayu Kartini merupakan hero wanita bagi negara Indonesia. Dia telah dilahirkan pada 21 April 1879 di Jepara, Indonesia dan merupakan anak bangsawan.
Ketika zamannya membesar, kanak-kanak perempuan tidak dibenarkan untuk belajar dan anak perempuan dari keluarga bangsawan pula dibenarkan untuk belajar sehingga usia 12 tahun sahaja.
Selepas itu, mereka perlu dikurung di dalam rumah sehingga bertemu jodoh. Sepanjang di rumah, Kartini telah membaca banyak bahan bacaan dari Belanda dan mengagumi cara pemikiran wanita di Eropah yang lebih maju.
Dari sini juga, Kartini telah berkawan pena dengan wanita Belanda yang mempengaruhinya untuk memperjuangkan hak wanita. Kartini banyak menulis surat mempersoalkan mengenai ketidaksamaan hak antara wanita dan lelaki, tradisi Jawa yang mengekang kehidupan wanita serta isu poligami.
Selepas berkahwin di usianya 24 tahun, Kartini telah membuka sekolah pertama untuk perempuan tempatan tanpa mengira status. Sekolah yang ditubuhkannya ini juga telah mengikut korikulum Barat yang lebih sistematik dan progresif. Beliau juga berjaya memperjuangkan kebebasan hak wanita ke peringkat lebih tinggi dengan bantuan pegawai-pegawai tinggi Belanda.
Selepas meninggal dunia pada 17 September 1904, semua surat yang ditulis oleh Kartini telah dikumpul dan dibukukan oleh Pengarah Pendidikan Belanda bertajuk Habis Gelap Terbitlah Terang. Buku ini telah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Indonesia sehingga sekarang.
Indonesia juga turut mengisytiharkan 12 April setiap tahun sebagai Hari Kartini bagi mengangkat wanita yang telah mengubah nasib rakyat Indonesia terutamanya wanita ini.
Sumber: BBC, The Patriots
Baca: 10 Wanita ‘Pertama’ di Malaysia Yang Hebat Mencipta Nama