Tidak dinafikan, semua keluarga mengalami masalah tersendiri, tidak kiralah dalam apa jua bentuk. Bagaimanapun, dalam sesetengah keluarga, masalah tersebut akan bertukar menjadi sesuatu yang toksik dan sukar untuk kita hadapi. Inilah yang kita kenali dengan nama keluarga toksik.
Bagaimanapun, apakah maksud sebenar keluarga yang toksik?
Menurut ahli klinikal psikologi dari DClinPsy, orang yang toksik gemar mempamerkan tindak-tanduk dan perangai yang dapat melukakan hati orang atau memberi impak negatif terhadap hidup orang lain. Selalunya, individu inilah punca sebenar ketoksikan dalam satu-satu perhubungan.
Sementara itu, keluarga yang toksik pula bermaksud ada seorang ahli keluarga yang bersikap negatif sehingga tindak tanduknya memberi kesan kepada kesihatan mental seseorang.
Tetapi, apakah cara yang terbaik untuk elakkan diri daripada menjadi mangsa ahli keluarga yang toksik? Di bawah, kami terangkan 5 langkah dari laman sesawang Psychology Today yang mungkin dapat membantu.
1. Jauhkan diri dari keluarga toksik atau hasilkan ‘boundary’
Benar, bukan mudah untuk jauhkan diri daripada individu toksik lebih-lebih lagi jika orang itu adalah ahli keluarga sendiri.
Menjauhkan diri daripada punca ketoksikan ini mungkin memakan masa. Bagaimanapun, biasakan diri untuk berkata tidak atau jauhkan diri supaya mereka tidak boleh mempengaruhi anda.
Elak berjumpa mereka, katakan tidak dan jangan cuba bertikam lidah. Semua ini adalah contoh bagaimana anda boleh menghasilkan ‘boundary’ yang sihat.
Selagi anda tidak menghasilkan ‘boundary’, selagi itulah individu toksik ini dapat mempengaruhi hidup anda.
2. Jangan hubungi mereka
Ini juga merupakan sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Mungkin anda masih perlu bertemu ketika majlis-majlis penting atau pada musim perayaan. Tetapi, selagi boleh, cuba untuk tidak menghubungi mereka.
Jangan rasa bersalah untuk putuskan hubungan dengan ahli keluarga yang membuatkan emosi anda merana. Jadi, kurangkan berkomunikasi supaya anda tidak perlu berhadapan dengan mereka.
Apabila anda rasa bakal ada pergaduhan atau sebarang sindir-menyindir, jauhkan diri secepat mungkin supaya anda dapat mengelakkan daripada diri daripada menjadi mangsa.
3. Jangan layan keluarga toksik
Selain menjauhkan diri dan mengehadkan pertemuan, ingat, jangan sesekali layan sekiranya individu yang toksik ini mengajak anda bergaduh atau bertikam lidah.
Mungkin sukar untuk menahan perasaan, bagaimanapun langkah ini sangat penting untuk memastikan mental anda kekal terjaga. Apa yang anda katakan sewaktu bergaduh mungkin akan menjadi ‘bahan’ mereka pada masa akan datang.
Jadi, jangan layan. Kalau ada yang ajak gaduh, abaikan sahaja!
Artikel berkaitan: Badan NGO Kesihatan Perjelaskan Tanda-tanda Keluarga Toksik, Netizen Usik Bayangan Siapa
Artikel berkaitan: 6 Cara Atasi Manusia Toksik Di Tempat Kerja, Jangan Biarkan Diri Jadi Mangsa Keadaan!
4. Cipta ‘circle’ baharu yang lebih baik
Dalam kalangan ahli keluarga anda, pasti ada yang berniat baik dan tidak bersikap toksik. Jadi, pastikan anda rapatkan diri dengan mereka yang benar-benar ikhlas.
Ahli keluarga atau rakan yang baik akan melindungi anda daripada mereka yang bersikal toksik. Malah, mereka juga dapat menjadi penasihat dan mungkin dapat memberikan anda nasihat-nasihat yang baik berkenaan ahli keluarga anda yang bersikap toksik ini.
5. Putuskan hubungan
Sekiranya semua cara di atas tidak berkesan, anda terpaksalah putuskan hubungan walaupun berstatus ahli keluarga.
Mungkin anda sudah berusaha untuk memperbaiki hubungan. Namun, jika semuanya masih toksik dan memberi beban kepada diri anda, lebih baik jauhkan diri dan elakkan daripada berhubung sehinggalah satu masa yang sesuai nanti.