Isu LGBT sering menjadi cerita kontroversi di Malaysia, seperti isu Sajat yang sebelum ini pernah mengaku bahawa dia merupakan seorang wanita sehinggalah isu Safiey Ilyas yang sering menukar identiti dirinya dari lelaki ke perempuan dan perempuan ke lelaki.
Pun begitu, Malaysia dikenali sebagai negara yang tidak mengiktiraf golongan LGBT sampaikan baru-baru ini satu kumpulan muzik dari UK, The 1975 telah mengkritik undang-undang negara ini dan membuat onar ketika membuat persembahan di Good Vibes Festival 2023.
Ironinya, pada tahun 1975 iaitu 48 tahun yang lalu, Malaysia pernah digemparkan dengan berita mengenai seorang lelaki dibenarkan untuk berkahwin dengan pemuda pilihannya selepas menjalani pembedahan penukaran seks. Jom baca cerita mengenai Sari Kartina ini…
Anak Melayu pertama buat pembedahan tukar jantina
Sari Kartina telah dilahirkan sebagai Mohd Fauzi bin Abdul Karim. Menurut kakaknya, Cik Sarah, sejak dari kecil lagi adiknya ini telah berkelakuan seperti perempuan.
Fauzi sejak dari kecil lagi mempunyai tingkah laku sebagai seorang perempuan. Ketika umurnya meningkat 13 tahun, kelakuanya terus berubah. Dia tak mahu langsung mencampuri orang lelaki sekalipun adik beradiknya sendiri.”
Selepas bersekolah di Maktab Abu Bakar di Johor, Sari Kartina telah menyambung pelajarannya di ITM (kini UiTM) dalam bidang Bahagian Pengangkutan. Namun begitu, dia telah berhenti selepas dua tahun setengah kerana merasakan dirinya tak sesuai bergaul dengan pelajar-pelajar lelaki.
Dia kemudiannya telah pergi ke Indonesia dan bekerja di agensi hiburan di sana serta mengajar menari selama dua tahun dari 1970 hingga 1972. Dia kemudiannya telah bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di Singapura.
Selama berada di Indonesia dan Singapura, tak seorang pun dari rakan-rakan menyangka saya adalah seorang lelaki ketika itu.”
Sari Kartina kemudiannya telah bertemu dengan seorang peniaga dari Singapura, Abdul Razak Othman di sebuah kelab malam di Singapura dan telah memberitahu mengenai dirinya yang sebenar kepada lelaki tersebut.
Atas galakan Razak, Sari Kartina telah membuat keputusan untuk menjalani pembedahan menukar jantina di Hospital Kandang Kerbau Singapura pada 24 Oktober 1974. Menurutnya, pakar-pakar di sana telah mengambil masa enam bulan untuk menyiasat keadaannya sebelum dia dibedah.
Untuk pengetahuan korang, Sari Kartina merupakan anak Melayu pertama yang menjalani pembedahan menukar jantina di Singapura.
Pembedahan menukar jantina ini telah dibuatnya tanpa pengetahuan keluarganya kerana takut niatnya untuk bertukar menjadi perempuan sepenuhnya terhalang.
Tetapi sekarang saya bersyukur kepada Allah, segala-galanya telah berlalu. Lebih-lebih lagi keluarga telah menerima saya sebagai seorang wanita dengan baik.”
Timbalan mufti Johor benarkan Sari Kartina berkahwin sebagai wanita
Setahun selepas menjalani pembedahan menukar jantina, Sari Kartina telah membuat permohonan di Jabatan Agama untuk bernikah dengan kekasihnya, Razak.
Timbalan Mufti Johor pada ketika itu, Datuk Syed Alwee Abdullah mengatakan bahawa Sari Kartina telah menunjukkan surat akuan dari Ketua Jabatan Perbidanan dan Pembedahan Universiti Singapura, Profesor Dr S.S. Ratnam serta surat pengakuan yang mengatakan:
Saya sesungguhnya mengaku dan bersumpah dengan nama Allah, dengan tidak dipaksa oleh sesiapapun, pada masa ini saya telah menjadi seorang perempuan dan keadaan saya seperti perempuan dan keinginan nafsu saya adalah kepada lelaki.”
Timbalan Mufti dan beberapa tokoh agama telah mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk mengkaji dan menyelidik hukum dari segi agama sebelum membuat keputusan untuk membenarkan pernikahan di antara Sari Kartina dan Razak.
Sari Kartina kemudiannya telah dinikahkan dengan Abdul Razak Othman di depan Timbalan Mufti Johor di pejabatnya di Johor Bahru disaksikan oleh keluarga Kartina dan diwalikan oleh bapanya Abdul Karim Anang.
Manakala keluarga Razak pula terkejut dengan berita perkahwinannya ini tapi adiknya memberitahu bahawa abangnya ini pernah membawa seorang gadis ke rumah mereka dan menyatakan keinginannya untuk mendirikan rumah tangga.
Kalau korang nak tahu, Razak sebelum ini pernah berkahwin dan dikurniakan dengan seorang anak namun perkahwinan pertamanya itu tidak kekal.
“Lelaki sah jadi perempuan boleh dijadikan isteri” – Timbalan Mufti
Mengulas mengenai keputusannya dan Jabatan Agama Johor untuk benarkan pernikahan di antara Sari Kartina dan Razak, Datuk Syed Alwee Abdullah menegaskan bahawa beliau yakin Kartina benar-benar telah menjadi seorang perempuan.
Hanya orang-orang yang tidak mengikuti perkembangan ilmu sains yang meluas tak akan percaya perkara yang telah terjadi ke atas Kartina. Malah, masih ada orang yang belum mahu mengakui dan mempercayai manusia telah sampai ke bulan.”
Tambahnya lagi, banyak pendapat yang membolehkan penukaran jantina dari lelaki kepada perempuan jika ia benar-benar boleh dilakukan.
Jadi, apabila seseorang telah sah menjadi perempuan, maka tak ada halangan baginya untuk bernikah dengan seorang lelaki.
Menurutnya, syarat-syarat bagi seseorang itu untuk menjadi seorang isteri hendaklah seorang perempuan dan bukan isteri orang lain atau bukan seorang pondan dan bukan seorang yang mempunyai dua kemaluan.
Tak cukup dengan itu, bukti yang diberikan oleh Kartina juga terang dan sah menunjukkan bahawa dia kini telah menjadi seorang wanita.
Kerana itu saya yakin dia benar-benar telah menjadi seorang wanita dan telah dinikahkan.”
Manakala Mufti Singapura Syed Isa Semait pula enggan memberikan pendapatnya mengenai hukum menjalankan akad nikah tersebut jika bakal isteri tersebut merupakan seorang lelaki sebelum ini. Menurutnya, perkara tersebut perlu disiasat dengan lebih teliti sebelum keputusan dibuat.
Sari Kartina mahu anak
Selepas bernikah, Sari Kartina telah menyatakan keinginannya untuk mendapatkan anak, namun sedar keadaannya itu menyebabkan dia tidak mungkin dapat hamil.
Kalau saya hendakkan anak, terpaksalah saya menjalani sekali pembedahan di Amerika.”
Kartina turut mempunyai perancangan untuk mengambil anak angkat dan bersyukur dengan apa yang diberikan Tuhan kepadanya.
Mengulas mengenai anak, Datuk Syed Alwee mengatakan semua orang yang berkahwin memang mahukan anak, tapi dalam dunia ini terdapat banyak perkara yang ganjil.
Kalau kita mengikuti perkembangan sains hari ini maka tidaklah menjadi hairan sesuatu penyakit itu boleh dan dapat diubati.”
Kartina turut berkata bahawa dia akan cuba untuk menukar nama di dalam sijilnya dari Fauzi ke nama sekarang bagi memudahkan urusan untuk mendapatkan pekerjaan.
Pun begitu, tiada lagi berita mengenai keadaan Kartina sekarang mahu pun di mana dia berada sekarang.
Nota: Tiada bukti yang dapat ditemui menunjukkan bahawa Sari Katrina dilahirkan sebagai seorang khunsa (dua jantina).
Sumber: Berita Harian, Berita Harian
Baca: Malaysia Negara Kedua Paling Tak Selamat Untuk Golongan Transgender – Kajian