Hujung minggu lalu telah berlaku satu kejadian tragis buat warga dari New Delhi saat ingin menyambut festival layang-layang pada perayaan Uttarayan di Gujerat, India.
Menerusi laporan Harian Metro, sekurang-kurangnya 6 orang maut yang merangkumi 3 lelaki dewasa dan 3 kanak-kanak, malah seramai 176 orang lagi turut mengalami kecederaan akibat luka dan terjatuh semasa menerbangkan layang-layang.
Malah sumber juga turut melaporkan bahawa semasa kejadian, orang ramai berpusu-pusu ke teres dan bumbung untuk menyaksikan perayaan itu.
Kata pegawai dari Bortalav, beberapa tali tajam layang-layang tersangkut dan terbelit pada leher mangsa yang menyebabkan mangsa mati dalam keadaan mengerikan.
Mangsa yang berusia 2 tahun yang sedang membonceng skuter bersama bapanya di bandar tersebut turut terkena jerutan di leher daripada tali layang-layang itu.
Dia meninggal dunia pada Ahad selepas menerima rawatan di hospital berhampiran. Seorang pegawai dari Balai Polis Aji Dam menambah bahawa mangsa lain, Rishabh Verma yang berusia tujuh tahun sedang membonceng dengan ibu bapanya menaiki skuter apabila lehernya terbelit tali layang-layang di Rajkot.
Dalam kejadian lain, seorang lagi kanak-kanak berusia 3 tahun yang bernama Kismat sedang berjalan pulang bersama ibunya di bandar Visnagar pada hari Sabtu saat seutas benang terbelit di lehernya.
Kanak-kanak itu telah dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba. Selain itu, 3 lelaki turut kehilangan nyawa dalam kejadian serupa di daerah Vadodara, Kutch dan Gandhinagar.
Swamiji Yadav, 35, maut selepas lehernya dibelit benang layang-layang ketika dia menunggang skuter di atas jambatan. Manakala, Narendra Vaghela, 20, terbunuh di bandar Gandhidham di daerah Kutch, dan Ashwin Gadhvi pula maut di bandar Kalol Gandhinagar.
Baca : Kanak-kanak OKU Maut Dipukul Teman Lelaki Ibu, Mayat Dibuang Ke Kawasan Semak