Dapat menyediakan tempat tinggal, ringan tulang dan memberi nafkah untuk keluarga, sudah cukup menggembirakan hati isteri. Jika dapat apa-apa pemberian atau hadiah sekalipun, itu dikira bonus.
Bagi suami pula, apa salahnya sesekali gembirakan hati isteri dengan memberi hadiah. Walaupun bukan hadiah mahal, tapi pemberian dari seorang suami pasti akan dihargai oleh isteri.
Sebuah hantaran dalam Group Backpackers Buddies Malaysia (BBM) telah menarik perhatian ramai yang mana pengguna Facebook ini menyatakan hasratnya untuk membawa isteri dan anaknya bercuti ke luar negara buat pertama kali.
Menerusi hantaran itu, pengguna yang dikenali sebagai Ahmad Dott meminta cadangan mengenai hotel yang berdekatan dengan tempat makanan halal di sekitar Phuket. Menurutnya, isterinya sudah lama berimpian untuk ke luar negara.
“Saya ni kerja kilang je. Dua tahun saya kumpul duit. Alhamdulillah dah cukup budget sebanyak RM6,500,” tulisnya.
Dia juga menyatakan ini pertama kali mereka menggunakan pasport dan naik pengangkutan udara.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen kagum dan memuji kesungguhan lelaki ini membahagiakan isterinya. Malah, netizen juga mendoakan keharmonian rumah tangga pasangan ini.
Di samping itu, ramai turut berkongsi tip dan mengesyorkan tempat-tempat menarik untuk dilawati berdasarkan bajet yang dinyatakan lelaki itu.
Jika suami tak berkira, percayalah rezeki itu sentiasa datang mencurah-curah dan kebahagiaan jadi milik bersama.
Baca: “Manalah tahu saya pergi dulu” – Suami Terbuka Rakaman Lama, Baru Sedar Kata Terakhir Arwah Isteri