Seorang wanita berusia 50 tahun ditahan reman selepas dua mayat bayi ditemukan tersembunyi di dalam peti sejuk beku di timur Perancis, menurut pihak pendakwa raya.
Pendakwa raya, Cedric Logelin, memaklumkan wanita itu didakwa selepas ditahan di Boulogne-Billancourt, di pinggir barat Paris. Dalam siasatan awal, suspek mengaku membekukan bayi yang dilahirkannya sendiri, namun tiada individu lain didakwa setakat ini.
Penemuan menggemparkan itu terbongkar apabila seorang ahli keluarga menemui mayat seorang bayi dalam peti sejuk beku di kediaman keluarga di Aillevillers-et-Lyaumont. Susulan laporan polis, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan satu lagi mayat bayi yang dibungkus dalam beg di peti sejuk sama.

Siasatan kemudian memfokuskan kepada wanita terbabit yang dilaporkan meninggalkan rumah keluarganya secara tiba-tiba pada Disember tahun lalu. Difahamkan, dia mempunyai sembilan anak hasil tiga hubungan berbeza dan dipercayai menyembunyikan kehamilan dengan memakai pakaian longgar agar tidak disedari keluarga serta kenalan.
Menurut pihak pendakwa raya, suspek tidak dapat memastikan tarikh sebenar kelahiran bayi berkenaan, namun menganggarkan ia berlaku antara 2011 hingga 2018. Bedah siasat telah dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian, sementara siasatan lanjut masih diteruskan.
Sumber: Berita Harian
