Seorang pelajar Tingkatan 2 dilaporkan maut akibat terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika sedang bermain sembunyi-sembunyi bersama rakannya di halaman rumah.
Kejadian berlaku kira-kira 8 pagi semalam di Jalan Kem PPH, Keningau ketika mangsa dikatakan bermain dengan seorang rakannya sebelum remaja itu secara tidak sengaja melepaskan tembakan dari jarak kira-kira tiga meter.
Mangsa rebah lalu dikejarkan ke Hospital Keningau oleh penduduk kampung namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan.
Menurut Ketua Polis Keningau, Yampil Anak Garai, siasatan awal mendapati rakannya pada mulanya ternampak mangsa memegang bakakuk sebelum memintanya untuk bergurau.
“Ketika bermain sembunyi-sembunyi, mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah sebelum suspek dipercayai tidak sengaja menarik picu senjata lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa.
“Suspek panik lalu meminta bantuan orang kampung yang kebetulan melintas sebelum mangsa dibawa ke hospital,” katanya.

Artikel berkaitan: Kes T*kam Pelajar Di Bandar Utama, Ini Kronologi Penuh Kejadian Tragis Tersebut
Artikel berkaitan: Tergamak Buang & Tinggalkan M*yat Rakan Selepas T*mbak Tanpa Sengaja
Ada 14 kesan tembakan
Pemeriksaan doktor mendapati terdapat 14 kesan tembakan pada beberapa bahagian tubuh termasuk dada kanan, lengan kanan, lutut dan sisi kiri badan mangsa.
Sementara itu, polis mendapati senjata berkenaan disorok oleh seorang lagi remaja yang juga adik suspek manakala pemiliknya adalah bapa mereka yang berusia 70 tahun.
Difahamkan, ketiga-tiga beranak itu kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut merampas bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek serta dua telefon bimbit.
Sumber: Berita Harian
