Setiap ibu bapa ada cara mendidik anak sendiri, sama jugalah seperti wanita ini. Pun begitu, baru-baru ini, dia tak sangka pula cara didikannya menjadi tular di media sosial dan dia teruk dihentam pengguna media sosial lain.
Memetik laporan The Sun, seorang wanita yang tak didedahkan identitinya ada berkongsi ke laman sosial TikTok bagaimana dia meminta anaknya untuk mendapatkan 12,000 langkah sehari pada hujung minggu untuk bermain permainan video.
Wanita berkenaan turut berkongsikan satu rakaman video pendek yang menunjukkan anak lelakinya sedang menggunakan mesin treadmill bagi mendapatkan 12,000 langkah terbabit.
“Bawaklah pergi berjalan kat taman, bukan suruh dia berlari macam ni” – netizen
Walau bagaimanapun, perkongsian wanita terbabit segera mendapat perhatian pengguna TikTok lain yang rata-ratanya mengkritik cara wanita berkenaan mendidik anaknya. Ada yang beranggapan cara terbabit seolah-olah satu penderaan kanak-kanak. Malah, ada juga yang berkata, anak wanita itu akan menjadi trauma di masa depan.
Pun begitu, wanita berkenaan segera menulis respon bagi membidas kata-kata netizen. Menurutnya, dia tidak pernah memaksa anaknya untuk berlari di atas treadmill bagi mendapatkan 12,000 langkah sehari. Bagaimanapun, dia tetap dengan pendiriannya yang mahu anaknya kekal sihat dan aktif jika mahu bermain permainan video.
“Buat mereka yang risau, anak saya tak berlari di atas treadmill ni setiap hari. Mereka boleh gunakan apa-apa cara sekali pun untuk capai 12,000 langkah sehari tu dan tak perlu buat pun kalau mereka tak nak main permainan video. Anak saya buat ni dengan kerelaan hati sendiri,” katanya.
Meskipun dihujani pelbagai komen negatif, wanita terbabit turut menerima beberapa respon positif dari pengguna media sosial lain yang memuji caranya memastikan anak-anak kekal sihat dan aktif walaupun mereka gemar bermain permainan video.
Ada juga yang sempat mengecam netizen lain yang terlalu cepat menunding jari tanpa mengetahui kisah sebenar.
“Sebagai seorang guru Pendidikan Jasmani, saya rasa ramai yang tak tahu budak-budak sekarang ramai yang tak sihat. Cara ni bagus untuk pastikan mereka kekal aktif,” kata netizen.
“Bukannya ibu tu paksa anak dia suruh berlari atas treadmill. Kan dia dah bagitau anak dia buat secara rela dan berusaha sendiri nak dapatkan masa bermain game,” tulis netizen lain pula.
Sumber: The Sun