Sedekad berlalu, ada pihak yang masih mempersoalkan dan menyalahkan saya berhubung kehilangan pesawat MH370 dedah bekas Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman baru-baru ini.
Kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines, penerbangan MH370 sehingga hari ini masih dibincangkan dan membingungkan dunia.
Azharuddin mendedahkan perkara tersebut selepas menjawab tuduhan menyembunyikan maklumat mengenai kehilangan pesawat yang hilang tanpa jejak sebaik berlepas pada awal pagi, 8 Mac 2014 menuju Beijing.
Perkara itu sehingga hari ini meninggalkan tanda tanya seluruh dunia dan masih belum terjawab.
Walaupun terdapat bermacam andaian serta teori oleh pakar penerbangan, sehingga kini, perjalanan pesawat berkenaan yang berpatah balik ke Semenanjung Malaysia masih menjadi tanda tanya dan belum terjawab.
Azharuddin dalam masa yang sama menyifatkan kehilangan 239 penumpang dan anak kapal dalam tragedi MH370 sebagai kes yang paling mencabar yang pernah dikendalikannya dan misteri terbesar dunia penerbangan setakat ini.
Menurutnya lagi, bagi keluarga yang kehilangan insan tersayang, kes tersebut masih belum ada penyelesaian dan sukar untuk difahami. Secara tak langsung, ianya menimbulkan beban bukan sahaja terhadap ahli keluarga tetapi juga Azharuddin sendiri.
Tambahnya, memori duka tersebut masih membelenggunya selaku individu penting yang mengetuai dan menguruskan pencarian pesawat dalam tempoh yang amat sukar.
CAAM yang sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Penerbangan Awam (DCA), menyelia operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur dan Azharuddin mengetuai DCA ketika tragedi tersebut berlaku.
Azharuddin berkata lagi, masyarakat masih ingin tahu dan sering bertanya kepadanya mengenai misi pencarian yang dijalankan tersebut.
Pun begitu, dalam nada sedih, Azharuddin mendedahkan ada juga sesetengah ahli keluarga yang tidak mempercayai CAAM walaupun tragedi tersebut sudah 10 tahun berlalu.
Menurutnya lagi, berdasarkan cara pesawat tersebut berpatah balik, terbang ke Pulau Pinang, Langkawi dan Sumatera, kemudian kembali semula membuktikan ianya sudah pasti dikendalikan oleh juruterbang yang tahu apa yang dilakukannya.
Artikel berkaitan : 5 Tragedi Pesawat Terhempas Menggemparkan Negara dan Masih Kekal Misteri Hingga Kini
Artikel berkaitan : Pakar Dakwa Misteri MH370 Boleh Terungkai Dalam Beberapa Hari Kalau….
Dalam masa yang sama, individu yang membawa pesawat ketika itu juga pernah menerbangkan pesawat jenis Boeing 777 kerana juruterbang ketika tragedi berkenaan mengikut jejak atau laluan penerbangan syarikat penerbangan komersil.
Namun, tidak dapat dipastikan siapa yang mengemudi pesawat berkenaan ketika itu, sama ada Kapten Zaharie mahupun individu lain. Sekiranya ianya Zaharie, di manakah pembantu juruterbang, jelasnya lagi.
Sumber : Sinar Harian