Satu kejadian tidak diingini berlaku kepada pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid baru-baru ini di Kuala Terengganu.
Dalam kejadian itu, Akhyar telah diserang dan disamun oleh dua individu tidak dikenali yang menaiki kereta kelabu di hadapan sebuah kedai minuman.
Memetik sumber dari Harian Metro, dua lelaki itu memakai jaket hoodie dan penutup muka telah menyerang Akhyar dengan memukul kaki dan betis beliau sebelum menghentak kepalanya.
Artikel berkaitan: Pelaku Guna Asid Sulfurik Pekat Punca Faisal Halim Melecur Tahap 4
Artikel berkaitan: Tular Video Papar Akhyar Rashid Kesakitan, Didakwa Jadi Mangsa Samun & Pukul Di Terengganu
Bagi seorang pemain bola sepak, kaki adalah aset penting untuk mereka dan tindakan individu yang tidak dikenali itu memukul kaki dan betis Akhyar dapat dilihat amat mencurigakan.
Berkata kepada sumber, Akhyar mendakwa dua individu tersebut memukul kakinya dengan objek tumpul seakan-akan cota besi. Walau bagaimanapun, Akhyar sempat melarikan diri ke kedai minuman berdekatan untuk mendapatkan pertolongan.
Penyamun itu sempat melarikan diri dan telah menyamun dompet Akhyar yang mempunyai beberapa dokumen penting. Satu laporan polis telah dibuat berikutan kejadian itu oleh kakak Akhyar sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Akhyar telah menerima rawatan dan keadaanya kini dilaporkan stabil.
Untuk rekod, pemain skuad Harimau Malaya itu menyertai Terengganu FC pada Februari 2024 secara pinjaman dari kelab bola sepak selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).