Seorang peserta Langkawi Legendary Ride (LLR) 2025 maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan berbasikal itu berlangsung di Jalan Kuala Muda, Langkawi, Kedah, semalam.
Mangsa, Low Beng Seng, 28, yang menyertai kategori 68 kilometer (Eagle Ride), mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar jam 8.45 pagi.
Menurut laporan Berita Harian, siasatan awal mendapati insiden berlaku apabila mangsa dipercayai cuba mengelak daripada bergesel dengan peserta lain, namun tercampak ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah hadapan.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
LLR yang kini memasuki edisi kelima menarik penyertaan lebih 1,200 pelumba tempatan dan antarabangsa dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu 101km (Legendary Ride), 68km (Eagle Ride) dan 30km (Mahsuri Ride).
Baca: “Seperti cyclists ni dah jadi musuh negara” – Adik Terkilan Abang Cedera, Didakwa Kena Langgar Lari