Digelar ‘Yorkshire Ripper’ kerana pembunuhan kejam dilakukannya terhadap 13 wanita di beberapa bandar termasuk Leeds dan Manchester, UK. Peter William Sutcliffe akhirnya berjaya ditahan pihak berkuasa Yorkshire Utara pada tahun 1981, 5 tahun selepas pembunuhan pertamanya di Leeds.
Pembunuhan bersiri ini bermula pada tahun 1975 di mana mangsa pertamanya adalah Wilma McCann berusia 28 tahun dan pembunuhan terakhirnya pula adalah pada tahun 1980.
Modus operandi
Peter bekerja sebagai seorang pemandu trak ketika dia melakukan kebanyakan daripada jenayahnya itu dan dilaporkan pernah bekerja sebagai penggali kubur. Menurut Esquire, dia menjadikan pekerja seks sebagai sasaran utama terutamanya di kawasan tempat tinggal penduduk yang berpendapatan rendah. Namun, lama kelamaan mangsanya dipilih secara rawak termasuklah pelajar dan kerani.
Menurut satu siri dokumentari, Peter akan mengekori wanita yang berjalan berseorangan pada waktu tengah malam terutamanya yang baru pulang dari kelab malam. Dia kemudian akan mengajak mereka menaiki keretanya sebelum menyerang menggunakan beberapa jenis senjata tetapi tukul adalah objek yang sering digunakannya. Ada juga beberapa kes di mana Peter akan terus menyerang mangsanya di jalan yang sunyi.
Dia kemudian akan membunuh mangsanya dengan kejam termasuklah menikam berkali-kali namun hasil pemeriksaan ke atas mayat-mayat wanita itu semua, pihak berkuasa mendapati mereka tidak dirogol. Selepas membunuh, mayat mangsa akan dibiarkan atau dibawa ke tempat lain untuk ditinggalkan.
Pernah disoal siasat tapi terlepas
Pihak berkuasa dianggap gagal dalam menyelesaikan kes ‘Yorkshire Ripper’ kerana mengambil masa bertahun-tahun untuk menangkapnya. Malah, ramai wanita pernah berarak dan melakukan himpunan kerana Peter masih belum ditangkap.
Menurut orang ramai, pihak polis gagal memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kes Yorkshire Ripper ini kerana ia membabitkan golongan pekerja seks dan orang miskin.
Mengejutkan, selepas Peter ditahan salah seorang anggota polis yang pernah bertugas untuk menjalankan misi soal siasat rumah ke rumah mendapati pembunuh tersebut pernah disoal siasat olehnya.
Selama tempoh 5 tahun polis menjalankan siasatan dan cuba memburunya, Peter dilaporkan pernah disoal siasat serta diambil keterangan sebanyak sembilan kali namun tidak pernah ditahan.
Akhirnya ditangkap
Pada 2 Januari 1981, polis yang sedang bertugas membuat rondaan telah menahan seorang lelaki di dalam sebuah kereta bersama seorang wanita muda. Dia ditahan kerana polis mendapati nombor plat kereta tersebut palsu dan dibawa untuk disoal siasat memandangkan kes’Yorkshire Ripper masih dalam siasatan.
Bukan itu saja, polis dapati personaliti dan rupa Peter sama seperti apa yang diterangkan oleh beberapa mangsanya yang terselamat. Ternyata, kali ini polis menangkap orang yang betul. Dua hari selepas ditahan, Peter mengaku melakukan semua jenayah itu dan menceritakan secara terperinci satu persatu pembunuhan dilakukannya kepada pihak polis.
Dakwa dengar suara Tuhan
Peter turut mendakwa dia mendengar ‘the voice of God’ yang mengarahkannya untuk membunuh kesemua wanita-wanita tersebut. Dia turut menggambarkan mangsa-mangsanya sebagai ‘kotoran…sampah di jalanan’.
Selepas perbicaraan dijalankan selama 2 minggu, Peter akhirnya didapati bersalah membunuh 13 wanita dan cubaan membunuh 7 wanita. Pada 22 Mei 1981, Peter dijatuhi hukuman penjara sepanjang hidup.
Bagaimanapun, pada Mac 1984 Peter telah dipindahkan ke hospital psikiatri kawalan ketat selepas didiagnos dengan skizofrenia paranoid di Hospital Broadmoor sebelum dipindahkan pula ke Penjara Frankland pada tahun 2016.
Maut di ‘tangan’ Coronavirus
Ketika usia 74 tahun, pada 13 November tahun lalu Peter yang mempunyai masalah kesihatan telah disahkan meninggal dunia selepas dijangkiti virus Covid-19 dan menurut BBC, dia sendiri menolak untuk menerima rawatan.
Kalau korang nak tahu secara lebih terperinci tentang kes pembunuhan dan penyiasatan tentang Peter Sutcliffe ni, boleh tonton dokumentari The Ripper di Netflix.