Gara-gara kejadian tular pelanggan merokok di kedainya sejak minggu lalu, peniaga roti canai di Kota Bharu terpaska menanggung kerugian lebih 80 peratus.
Memetik laporan Sinar Harian, peniaga yang bernama Wan Nurul Hazana berkata, hasil perniagaan yang diraih sekitar RM500 hingga RM600 sehari sebelum ini berkurang sehingga RM100 kerana roti canai tidak habis dijual.
Dia meluahkan rasa sedih kerana dia berniaga untuk membantu bapa saudaranya yang merupakan pesakit jantung.
“Bukan nak mengeluh, tetapi nak beritahu, akibat kena tular pasal kakitangan hospital hisap rokok dalam kedai, kami hilang pendapatan.
“Roti canai biasanya 15 kilogram (kg) habis setiap hari, sekarang 2kg pun tak habis,” katanya.
Katanya lagi, kejadian itu pertama kali berlaku sejak 15 tahun berniaga di kawasan tersebut walaupun sudah meletakkan tanda larangan merokok di kedainya.
Kakitangan hospital pelanggan tetap
Difahamkan, kakitangan itu juga adalah pelanggan tetapnya kerana kedai makan terletak berdekatan hospital namun bukan semua yang merokok tetapi tindakan sesetengah mereka menyebabkan pelanggan lain takut untuk datang.
“Isu sebenar nak beritahu kakitangan yang menghisap rokok dalam kedai makan tetapi saya pula yang menanggung akibat apabila pelanggan tidak datang.
“Pihak yang menularkan perkara ini sepatutnya bertanggungjawab dan memikirkan dahulu kesan kepada peniaga seperti saya sebelum berbuat demikian,” katanya.
Dalam pada itu, dia berharap agar keadaan itu tidak berlarutan kerana perlu membayar gaji kepada penebar roti canai sebanyak RM50 sehari dan sewa kedai RM300.
Justeru, peniaga itu berharap pihak yang menularkan perkara itu tampil membuat permohonan maaf.
Bagi min, peniaga juga perlu bertegas dengan pelanggan yang melanggar peraturan. Harap perniagaannya kembali pulih sediakala.
Baca: “Saya akan continue Menu Rahmah ini” – Bos MYDIN Sebak Mengenang Pemergian Salahuddin Ayub