Bulan lepas di Tokyo, tiga orang lelaki bersenjatakan pengumpil kuku kambing telah merompak kedai menjual jam tangan berjenama mewah yang terletak di kawasan membeli belah Ginza sambil diperhatikan oleh orang ramai di sana pada waktu siang.
Berpakaian hitam dan topeng berwarna putih, perompak ini telah memecahkan kaca di dalam kedai jam tersebut tanpa menghiraukan orang ramai dan bunyi penggera kecemasan. Beberapa orang yang menyaksikan rompakan itu juga turut merakamkan kejadian tersebut sehingga mereka berlari ke arah kereta yang sedia menunggu sebelum memecut laju melanggar lampu merah untuk melarikan diri.
Menurut berita tempatan, perompak ini telah dikejar oleh empat kereta polis dan sempat memandu di hadapan ibu pejabat Agensi Polis Negara dan Parlimen di sana sebelum terperangkap di jalan mati.
Tak mengalah, kesemua perompak ini telah keluar dari kereta dan cuba lari sebelum salah seorang dari mereka menyerah diri. Seorang lagi pula telah merayu kepada polis untuk berhenti sakitinya ketika dia ditahan. Tak sampai sejam, keempat-empat suspek termasuk pemandu kereta berjaya ditahan.
Menerusi tangkapan ini, pihak polis telah berjaya merampas sebanyak 70 jam tangan bernilai lebih dari US$700,000 dan kesemua suspek ini hanya berusia dari 16 tahun ke 19 tahun.
Yami Baito: Dieksploitasi untuk buat jenayah
Perompak yang ditahan ini telah memberitahu pihak polis bahawa mereka tak mengenali satu sama lain dan ini merupakan pertemuan pertama mereka untuk membuat “kerja” ini. Selepas mendengar kenyataan ini, pihak polis di sana percaya yang mereka telah terlibat dengan “yami baito”.
Kalau korang nak tahu, yami baito membawa maksud “kerja sampingan pasaran gelap”. Ia merupakan trend yang semakin meningkat di Jepun di mana kumpulan penjenayah terancang telah memerangkap remaja-remaja yang muda, naif dan perlukan wang untuk melakukan jenayah bagi pihak mereka.
Sejak Januari lalu, Jepun telah diganggu oleh pelbagai jenis rompakan dan selepas siasatan dibuat, mereka mendapati sekumpulan individu dari luar negara telah menjadi dalangnya.
Dipercayai, iklan-iklan yami baito telah membanjiri media sosial dengan mengumpan orang-orang muda dengan janji-janji manis seperti “Wang besar!”, “Wang mudah” dan “Sesiapa sahaja boleh join walaupun tak ada pengalaman”.
Menurut statistik polis di sana, sebanyak 50 rompakan dan kecurian yang dikaitkan dengan yami baito telah berlaku sejak pertengahan 2021. Kebanyakan yang ditahan merupakan remaja belasan tahun dan dua puluhan.
Satu kumpulan yang telah melakukan jenayah di enam wilayah di Jepun mengatakan yang dorang telah diupah dari Instagram.
Menurut Profesor Hiroshi Tsutomi dari Universiti Shizouka, mereka yang terjebak dalam yami baito ini lebih takutkan orang yang mengupah mereka dari ditangkap. Tak cukup dengan itu, peningkatan kemiskinan hidup di sana diikuti dengan kemudahan sosial media memudahkan kumpulan jenayah terancang ini mencari mangsa.
Kes pecah masuk kedai jam mewah itu merupakan kes kelima penjenayah amatur membuat rompakan ke atas kedai barang kemas di Tokyo sejak Mac lalu. Pihak polis di sana mengatakan, anak-anak muda seperti tak faham bahawa melakukan jenayah boleh membuatkan mereka tertangkap.
Diumpan dan diugut
Polis Metropolitan Tokyo mengatakan yang mereka menemui sebanyak 3,500 iklan yami baito di Twitter tahun lalu dan setiap tahun ia meningkat sebanyak 50 peratus. Bukan sahaja di media sosial, yami baito turut diiklankan di laman web cari kerja yang sah.
Apabila wartawan dari surat khabar Mainichi cuba untuk memohon pekerjaan yami baito, mereka terus diarahkan untuk berkomunikasi melalui aplikasi Telegram dan ditawarkan untuk bekerja sebagai scammer telefon dengan gaji sebanyak US$20,000 sebulan.
Selepas menerima pekerjaan yang ditawarkan, ramai yang sukar untuk berhenti. Ini kerana, “majikan” yang mengawal mereka akan menggunakan ugutan termasuk ingin mencederakan ahli keluarga mereka.
Dalam satu kes, pihak polis telah menahan seorang wanita berusia 20 tahun Yuna Hatakenaka pada penghujung April lalu. Dia memberitahu pihak polis bahawa dia sedar pekerjaan itu merupakan satu penipuan tapi ketika itu dia telah pun memberikan kad pengenalan bergambar dan video rumah keluarganya.
Saya tak ada pilihan, saya perlu buat apa yang mereka suruh.”
Wanita ini dan rakan-rakan subahatnya telah menyamar menjadi pegawai polis dan menipu seorang warga emas untuk memberikan kad-kad banknya.
Bekas pendakwa raya Mikio Uehara mengatakan kumpulan penjenayah ini telah mengawal pemikiran anak-anak muda ini sehingga mereka sukar untuk mengatakan yang dorang mahu berhenti.
Kalau dalang disebalik yami baito ni orang luar negara, tak mustahil anak-anak muda dekat negara-negara lain pun boleh terdedah dengan risiko ni. Sama macam sindiket pekerjaan pemerdagangan manusia yang tengah aktif kat negara kita.
Sumber: Kyodo News, CBS
Baca: “Dipaksa makan babi” – Mangsa Dedah Penderitaan Jadi ‘Hamba Moden’ Sindiket Pekerjaan Luar Negara