Seorang lelaki warga emas maut di rumahnya sendiri di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Kedah semalam akibat dijerut menggunakan kain pelekat oleh dua orang lelaki.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, suspek dipercayai telah masuk ke dalam rumah mangsa sebelum bertindak menyamun dengan melarikan seutas rantai emas, sebentuk cincin yang dipakai dan dompet milik mangsa.
Artikel Berkaitan : Gara-Gara Buat Laporan Palsu Konon Disamun, Wanita Didenda RM1,800
Artikel Berkaitan : Pernah Beraksi Di Liga Super, Bekas Pemain Bola Sepak Ditahan Kerana Terlibat Kes Samun
“Bukan tali (untuk dijerut) tetapi guna kain pelekat sahaja, dipercayai milik mangsa sendiri.”
Tambah beliau, tangan dan kaki mangsa turut diikat menggunakan kain pelekat malah katanya, 2 orang suspek yang berumur 23 dan 25 tahun telah direman selama 6 hari bermula hari ini (Isnin) bagi membantu siasatan.
Difahamkan mangsa tinggal seorang diri di rumah teres setingkatnya dan sumber melaporkan bahawa rumah tersebut berpagar selepas kematian isterinya pada 8 tahun lalu. Namun begitu, tidak ada sebarang kesan pecah rumah ditemui di lokasi kejadian.
Sumber: X, Sinar Harian