Bila datang ke tempat orang, sudah semestinya kita ‘wajib’ menjaga tatasusila dan adab sebagai seorang pemastautin.
Namun, terdapat segelintir ‘pemastautin’ ini seringkali membuat masalah atau jenayah apabila datang ke negara orang walaupun niat asalnya datang ke negara adalah untuk mencari rezeki.
Rumah kongsi sebagai ‘markas rahsia’
Terbaru, seramai tujuh orang warga asing ‘kantoi’ membuat onar dengan menjalankan kegiatan pemburuan haiwan liar yang dilindungi di negara ini.
Malah mereka turut menjadikan rumah kongsi pekerja ladang sebagai ‘markas rahsia’ untuk menyimpan segala peralatan yang digunakan untuk menjerat haiwan-haiwan liar ini.
Bukan itu sahaja, haiwan-haiwan yang berjaya diburu ini juga turut dilapah di dalam rumah kongsi berkenaan.
Haiwan liar parah terpijak ‘jerat maut’
Kegiatan mereka ini ‘kantoi’ apabila pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya mengesan kesemua suspek gara-gara berlakunya peningkatan kes gajah liar, tapir dan beruang yang dijumpai parah akibat terpijak ‘jerat maut’ yang dipasang mereka ini.
Lapor Harian Metro, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim mendedahkan bahawa kegiatan mereka ini terbongkar selepas sepasukan pegawai penguatkuasa Perhilitan melakukan Operasi Bersepadu Khazanah di rumah kongsi ladang tidak jauh dari Hutan Simpan Labir, Gua Musang, Kelantan.
Dalam operasi yang dilakukan pada jam 4.30 petang semalam, pihak berkuasa telah menahan tujuh penghuni rumah kongsi itu yang membabitkan warga Thailand dan Myanmar.
Jumpa kepala, kulit, kuku dan daging
Hasil pemeriksaan yang dilakukan berjaya menemui dua kepala kambing gurun dan satu kepala kijang disembunyikan dalam rumah kongsi tersebut.
Bukan itu sahaja, pihak berkuasa juga turut menemui kulit kijang, kuku dan daging kambing gurun termasuklah tiga jerat kabel yang digunakan untuk menangkap kesemua haiwan liar dilindungi itu.
Suspek mengaku mendapatkan haiwan liar itu hasil daripada jerat-jerat yang dipasang dalam hutan sekitar rumah kongsi berkenaan. Susulan itu, kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk tindakan lanjut.
Kes akan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.