Hati mana yang sanggup menahan rasa sedih apabila melihat sekumpulan budak melilau-lilau di restoran makanan segera sambil mencari sisa makanan untuk mengisi perut yang kosong?
Menerusi perkongsian Ja Sazni di laman Facebook, dia telah ke McDonald’s KL Sentral selepas pulang dari kerja. Namun selepas membuat pesanan dan bersedia untuk makan, dia terperasan akan kanak-kanak yang melilau seperti mencari sesuatu pada setiap meja.
“Bila ada sisa makanan yang tak habis dia orang berbisik, ‘serbu, serbu’. Lepas itu muka kecewa sebab yang sisa hanyalah air dan sos.”
Namun apabila kanak-kanak ini melalui sebelah meja Ja Sazni, dia terus mencuit bahu salah seorang kanak-kanak tersebut dan bertanya,
“Nak makan ke dik?”
“Nak… lapar,” jawab budak tersebut.
Aduhai kasihannya!
Dengan penuh ikhlas Ja memberikan bekas makanannya yang berisi dua ketul ayam goreng, kentang dan air Coke kepada kanak-kanak tersebut.
“Nah share dengan kawan,” katanya.
Ternyata kanak-kanak tersebut seronok bukan kepalang apabila Ja memberikan mereka makanan tersebut. Orang mengantuk disorongkan bantallah katakan!
Sebaik sahaja dia mula berkemas-kemas untuk beransur pulang, datang lagi beberapa orang kanak-kanak yang sebaya dengan budak-budak tadi berebut memakan ayam yang diberinya.
Tindak laku anak-anak tersebut membuatkan Ja tertanya-tanya,
Siapa mereka ini agaknya? Mana mak ayah dia orang? Ini budak-budak Melayu, bukan pendatang!”
Sementara itu, rata-rata netizen menyuarakan rasa kebimbangan mereka akan kanak-kanak tersebut yang suka-suka merayau bersama rakan-rakan memandangkan usia mereka masih lagi muda.
“Bahayanya merayau macam ini.”
“Takut merayau mak ayah tak tahu. Ikut kawan-kawan pergi mall.”
Malah ada juga berpendapat mereka mungkin anak gelandangan. Namun ada yang berkata melihatkan dari pakaian yang dipakai anak-anak ini, mungkin mereka anak orang susah.
“Biasanya depa (mereka) ini bukan homeless. Tapi mungkin duduk flat yang kecil-kecil tu. Memang tak duduk rumah budak-budak ni. Mak ayah pulak sibuk cari rezeki. Memang kasihan,” kata salah seorang netizen.
Pun begitu, Ja sempat memberi balasan yang dia akan menemu ramah kanak-kanak tersebut jikalau mereka ada lagi esok di sana. Dia juga meminta untuk jangan buruk sangka kepada kanak-kanak tersebut kerana mereka tidak meminta-minta makanan kepada sesiapapun termasuklah dirinya.
Kalau terlihat orang susah, bantu mereka dengan ikhlas. Banyak pahalanya tau!
Baca: Gadis Baik Hati Belanja Nenek dan Kanak-Kanak Kelaparan Makan di Restoran Makanan Segera