Seorang wanita yang berniat membuat laporan polis berikutan kemalangan kereta mendakwa dia tidak dibenarkan masuk ke balai kerana pakaiannya.
Menurut laporan FMT, wanita berkenaan tidak dibenarkan masuk ke balai polis Kajang hanya kerana memakai seluar pendek.
“Pegawai polis itu lihat apa yang saya pakai (melalui cermin kereta) dan menyuruh saya pergi. Saya memakai seluar Bermuda (seluar kargo tiga suku) yang menutupi lutut saya,” katanya.
Wanita tersebut mendakwa pegawai itu bertegas dan enggan mendengar alasannya bahawa dia perlu pergi ke satu tempat yang agak jauh hanya untuk menukar pakaian.
“Ia tidak masuk akal. Bagaimanakah mereka boleh menafikan hak saya untuk membuat laporan melainkan saya menukar pakaian saya?
Dia memberitahu saya dia tidak kisah dan menteri pun tidak akan dibenarkan masuk (jika mereka berpakaian begitu).” Katanya lagi.
Difahamkan, wanita itu telah mengalami kemalangan dengan sebuah lori berhampiran rumahnya di Batu Sembilan, Cheras semalam.
Dia dan pemandu lori pergi ke balai polis Batu Sembilan untuk membuat laporan tetapi sebaliknya diminta pergi ke balai polis Kajang.
Pegawai di balai pertama tidak menegurnya mengenai apa yang dia pakai, justeru dia tertanya-tanya mengapa dia ditolak di balai polis Kajang.
“Jika ada peraturan sedemikian, maka seseorang akan memberitahu saya di balai polis pertama. Ia tidak masuk akal.” katanya.
Selepas itu, wanita berkenaan meminta kakaknya untuk membawakan sepasang seluar panjang dan barulah dia akhirnya dibenarkan masuk.
Wanita tersebut turut meminta pegawai itu nombor lencana dan nama untuk memfailkan aduan, tetapi pegawai itu enggan memberikannya.
Dia turut berkata beliau cuba menghubungi ADUN Kajang Hee Loy Sian untuk membincangkan perkara itu dan memastikan ia tidak berlaku kepada orang lain.
Baca: Warga Rusia Dedah Cara Ceroboh Menara 118, Siap Menyamar Pakai Tudung & Baju Pekerja Bangunan