Tular sebuah notis di media sosial yang memaparkan seorang wanita bukan Islam di Kelantan telah dikenakan kompaun kerana berseluar pendek di tempat awam.
Memetik sumber NST, perkara tersebut disahkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang memaklumkan notis itu dikeluarkan kepada pemilik perniagaan berusia 35 tahun ketika pegawai penguatkuasaannya melakukan pemeriksaan mengejut di premis berkenaan.
“Pemilik (perniagaan) bukan Islam itu didapati berseluar pendek di tempat awam, untuk itu dia diberikan notis kompaun,” kata Presiden MPKB, Rosnazli Amin.
Menurutnya, wanita itu melakukan kesalahan mengikut 34(2)(b) Undang-undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 2019, yang menyatakan pemilik perniagaan bukan Islam dan pekerja bukan Islam mereka perlu ‘berpakaian sopan’.
Rosnazli juga dilapor mempertahankan undang-undang kecil itu yang menurutnya sudah berkuat kuasa sejak sekian lama dan difahami semua, termasuk bukan Islam.
Menurut notis kompaun yang tular di media sosial, wanita itu perlu membayar dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan undang-undang.
Perkara itu telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan segelintir pengguna media sosial terhadap undang-undang yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan kepada bukan Islam, memandangkan kerajaan itu sentiasa mengatakan bahawa undang-undang kecil di bawah syariah tidak akan menjejaskan orang bukan Islam.
Baca: “Boleh timbulkan fitnah” – Mufti Kelantan Ulas Video Tular Wanita Seksi ‘Catwalk’ Di Kota Bharu