Awkward tak kalau korang tengah tunggu giliran dekat tempat-tempat untuk buat apa-apa urusan macam di bank atau klinik, tengok si ayah pukul anak sampai menangis, lebih-lebih lagi bila kita terpandang mereka dengan tak sengaja.
Andai kata antara kita pernah alami situasi di tempat ‘si anak’ tu mesti akan faham macam mana rasa malunya bila orang lain semua tengok kita kena pukul atau dimarahi ibu bapa di khalayak ramai.
Bagi mereka, itu adalah cara nak ‘ajar’ tapi bagi Dr Kamarul Arifin Nor Sadan, tindakan itu hanyalah membuka aib anak yang boleh menyebabkan mereka rasa down dan hilang keyakinan diri.
Siap kau balik nanti!”
Doktor ini terdetik untuk menyuarakan pandangannya menerusi akaun Facebook ini kerana satu kejadian berlaku di kliniknya dimana ada seorang ayah ini bawa anak sulung dia ke klinik kerana tak berapa sihat. Masa itu, anak bongsu yang turut ikut sama ada tersentuh barang dalam bilik konsultasi.
Si ayah sudah melarang, tetapi biasalah anak bongsunya tetap main sampai lah ada barang yang dia sentuh itu jatuh ke lantai.
“Budak tu jadi panik. Si bapa tu pula tiba-tiba naik berang. Tengking si bongsu tu sampai timbul urat di leher. Saya beritahu si bapa tak perlulah marah sampai begitu barang yang jatuh tu pun bukan barang yang sensitif atau berharga sangat. Barang biasa je. Jatuh begitu, tak rosak.”
Namun begitu si ayah yang menghentikan sementara sesi konsultasi untuk ‘ajar’ anaknya itu hanya endahkan sahaja apa yang Dr Kamarul ini mencelah.
Sebaliknya, si ayah tarik tangan anak dia dan tampar-tampar. Kata doktor ini, agak kuat sehinggakan anak itu menangis. Tak tergamak melihatnya, si doktor ini pun mula bersuara.
“Saya kata kalau nak marah anak, mohon jangan di hadapan orang. Tak elok begitu. “Siap kau balik nanti!” kata dia, seolah-olah belum selesai lagi urusan dengan anaknya itu.”
Daripada apa yang berlaku ini Dr Kamarul menyifatkan bahawa tindakan itu tidak sewajarnya dilakukan
Nak mendidik anak, atau nak tunjuk pada orang bahawa dia tegas?
Dr Kamarul berpendapat bahawa, jika ingin mendidik, gaya seperti itu tidak betul, tak perlu nak marah kasar di depan orang. Katanya, walaupun anak itu masih kecil, mereka tetap ada harga diri dan maruah serta tak suka direndah-rendahkan di hadpan orang.
Baginya, jika ibu bapa kerap memarahi anak di khalayak orang ramai, ini perkara yang mungkin akan terjadi kepada anak kita.
“Pertama, dia akan rasa nilai diri dia rendah. Dia akan hilang keyakinan diri. Jadi tak berani nak buat apa-apa. Sentiasa takut dihakimi orang. Paling sedih, dia akan rasa kita(ibubapa) ni bukan jenis akan lindungi dia jika dia kesusahan.
Kedua, dia akan rasa perbuatan kita tu sesuatu yang normal. Di masa akan datang dia akan buat pada adik beradik dia, pada kawan-kawan dia, dan suatu masa nanti, tak mustahil mungkin dia akan buat pada kita semula.”
Namun begitu, doktor ini tidak nafikan bahawa bukanlah kita tidak boleh marah atau hukum, tetapi biarlah ada adabnya dan hanya ala kadar dengan tahap kesalahan yang di lakukan, bukannya hukum begitu teruk dan nak tunjuk kat orang lain yang kita ni jenis tak bagi muka kalau ada buat salah.
“Ada! Ada ibubapa yang macam tu. Jenis yang rasa orang akan pandang teruk pada mereka jika anak mereka buat kesalahan. Takut sangat orang kata mereka tak pandai jaga anak. Jadi mereka akan tunjuk pada orang yang mereka tegas pada anak-anak.”
Pesannya lagi, jika kita jaga aib anak-anak kita dengan baik, maka insyaAllah anak-anak pun akan jaga aib kita dengan baik. Ia sesuatu yang resiprokal (timbal balik).
“Nak marah anak, marahlah. Memang bagus untuk kita tegur kalau dia buat salah. Cuma pastikan kita marah itu dalam keadaan niat utamanya untuk mendidik. Bukan untuk lepas geram, bukan untuk jaga air muka kita, bukan untuk puaskan hati orang sekeliling.”
Tambahnya, kalau kita nampak ada anak orang lain lasak sikit, tak perlu beriya buat muka dan mengata.
Andai kata ibubapa dia biarkan sahaja anaknya melasak, kita boleh pergi nasihat nasihat pada kanak-kanak itu. Tak usah pergi marah pula. Semoga anak-anak kita jadi lebih baik daripada kita.
Baca : Takut Kena Marah Dengan Keluarga, Remaja Lahirkan Anak Buang Atas Pasir Belakang Rumah