Satu pasangan dari China telah ditahan pihak polis kerana menjual bayi lelaki mereka untuk membeli dadah, lapor Daily Star. Mr Wang dan isterinya Ms Zhong kedua-duanya ketagihan dadah telah membuat keputusan untuk ‘memberikan’ anak mereka itu kepada pasangan suami isteri yang ditemui secara online.
Difahamkan, pasangan dari Neijiang, China itu telah membuat persetujuan dengan ibu bapa baru anak mereka yang dilaporkan telah lama berusaha untuk mendapatkan zuriat.
Pasangan tersebut bersetuju untuk membayar Mr Zhang dan Ms Zhong dengan harga £6,800 (RM36,159.07), di mana pada waktu itu bayinya masih dalam kandungan.
Pada 11 Oktober tahun lepas, Ms Zhong telah melahirkan bayi itu dan tanpa berlengah mereka terus menyerahkannya kepada pasangan tersebut. Dengan duit yang mereka dapat, pasangan itu membelanjakannya dengan membeli dadah dan menempah bilik hotel untuk ‘lalok’ bersama.
Kedua-duanya ditahan pihak polis dalam sebuah bilik hotel dipenuhi dengan timbunan wang tunai serta dadah paraphernalia yang bertaburan di atas katil.
Menurut pihak polis tempatan, pasangan itu memang dikehendaki kerana penyalahgunaan dadah. Kedua-duanya berada dalam pemerhatian dan apabila pihak polis mengesyaki sesuatu, mereka terus menahan pasangan itu.
Disebabkan ketagihan dadah itu juga mereka mempunyai hutang keliling pinggang. Lebih teruk, Ms Zhong mengaku ada mengambil dadah beberapa kali ketika sedang mengandungkan anaknya itu.
Mr Zhang dan Ms Zhong mengaku bahawa mereka telah membeli dadah jenis syabu dan dua telefon bimbit baru menggunakan hasil duit menjual anak itu. Mereka kini dilaporkan telah dipenjarakan kerana kesalahan pemerdagangan kanak-kanak.
Mr Wang dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun manakala isterinya dihukum penjara selama 6 tahun. Bayi tersebut kini berada di bawah penjagaan neneknya.