Sebelum ini, pernah tular di media sosial mengenai rakaman litar tertutup (CCTV) di dalam sebuah surau di Banting yang memaparkan aksi dua orang lelaki yang didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh.
Siasatan polis bagaimanapun mendedahkan dua lelaki terbabit adalah pasangan adik beradik dan ketika kejadian, mereka sedang bergurau sesama sendiri.
Menerusi kenyataan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, kedua beradik berkenaan masing-masing berusia 21 dan 14 tahun tinggal di Seremban, Negeri Sembilan.
“Dua individu itu datang ke Banting bersama ibu bapa dan seorang adik perempuan untuk bercuti dan makan di sebuah restoran di pekan Banting.
Keluarga terbabit kemudiannya singgah di sebuah surau sekitar jam 4.30 petang, Selasa lalu untuk menunaikan solat dan selesai solat, dua beradik itu bergurau sesama mereka tanpa menyedari aksi mereka dirakam CCTV surau.
Si abang difahamkan bergurau dengan adiknya sambil membetulkan seluar sesudah solat dan mengaku tidak mempunyai niat untuk berkelakuan tidak senonoh di dalam surau itu,” katanya.
Dalam pada itu, keterangan ibu bapa adik beradik berkenaan juga sudah diambil dan mereka mengakui hubungan adik beradik itu memang rapat dan mereka suka bergurau.
“Keterangan kedua-dua pelaku dan ibu bapa mereka sudah diambil dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut.”
Sebelum ini, viral di media sosial mengenai aksi tidak senonoh dua lelaki di dalam sebuah surau yang mengundang kemarahan orang ramai. Menerusi video berdurasi satu minit 49 saat itu, aksi berani berkenaan terus dilakukan meskipun terdapat kehadiran jemaah lain di dalam surau.
Sumber: Berita Harian
Baca: “Perbuatan hina!” – [VIDEO] Dua Lelaki Buat Perkara Tak Senonoh Dalam Surau Di Banting