Baru-baru ini berlakunya satu kejadian ‘ngeri’ apabila seorang wanita yang sedang hamil 6 bulan nyaris dihentam tayar ‘terbang’ ketika membonceng sebuah motosikal.
Aik, dari mana pulak datangnya tayar tu?
Kejadian ini dikatakan berlaku di sebuah jalan Prauchup Kiri Khan, Selatan Thailand pada 3 Disember yang lalu.
Sedang tunggu di tepi jalan
Memetik laporan Daily Mail, wanita itu dikatakan sedang membonceng motosikal bersama pasangannya sewaktu mereka berada di tepi jalan dan menunggu peluang untuk masuk ke jalan utama. Namun, secara tiba-tiba muncul pula sebuah tayar yang melantun ‘terbang’ ke arah mereka berdua.
Pantas ‘terjun’ motosikal
Tindakan refleks sepantas kilat wanita itu akhirnya berjaya menyelamatkan nyawanya apabila dia terus ‘terjun’ dari motosikal tersebut dan berjaya mengelakkan diri daripada dihentam tayar ‘gergasi’ berkenaan manakala pasangannya itu pula sempat membongkokkan dirinya.
Kejadian itu berjaya dirakam menerusi rakaman dashcam sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan tersebut dan laporan polis juga telah dibuat untuk mengesan pemilik kenderaan yang bertanggungjawab dengan insiden tayar ‘terbang’ itu.
Ya Allah, sipi-sipi je nak kena.
Kedua-dua pasangan tersebut walau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka memutuskan untuk menyelesaikan kes tersebut secara tertutup.
Tayar trak nanas, tercabut secara tiba-tiba
Melalui laporan siasatan, tayar ‘gergasi’ tersebut datangnya dari sebuah trak yang membawa muatan nanas.
Menurut pemilik trak, Khun Nonee, kejadian itu adalah sebuah kemalangan yang tidak disengajakan. Tayar berkenaan dikatakan telah tercabut tanpa disedari olehnya.
Itu tayar trak saya yang membawa muatan buah nanas, tapi itu adalah satu kemalangan. Ia (tayar) secara tiba-tiba tercabut tanpa saya sedari. Saya pun tak tahu puncanya.
Allahu, nasib baik dia dan kandungan tak apa-apa.