Bagi mereka yang mempunyai kembar, terutamanya nama pula dekat-dekat, sudah tentu seringkali menimbulkan kekeliruan kepada orang lain bukan? Nak ‘diseru’ kembar A, tersasul pula memanggil kembar B sehingga kadang-kadang menimbulkan situasi yang mencuit hati.
Namun, bagaimana pula kalau ‘kesilapan’ itu berlaku pula semasa majlis akad nikah sedang berlangsung? Sudah pasti huru-hara jadinya apabila si wali tersilap pula menyebut nama pengantin.
Begitulah pengalaman lucu yang dikongsikan oleh seorang wanita ini ketika majlis akad nikahnya berlangsung dimana walinya tersasul pula menyebut nama kembar perempuannya sewaktu hendak diakadkan.
Menerusi posting yang dimuat naik Amira Farra di akaun Twitter @efficiancee, dia telah berkongsi sebuah klip video semasa suaminya berdepan dengan wali semasa melafazkan akad nikah.
Apa yang menghiburkan hati, walinya yang merupakan datuknya sendiri telah tersasul pula menyebut nama adik kembarnya yang mempunyai nama yang agak serupa iaitu Amira Sara.
Panik dengan kesilapan tersebut, pengantin perempuan laju sahaja ‘mengipas’ tangannya untuk memberi isyarat kepada si datuk bahawa dia tersalah menyebut nama pengantin perempuan.
Aduhai, naya Pak Karim.
Bila wali kau umur 84, and kau pulak kembar nama dekat dekat. Ini lah jadinya. Dah jadi kipas dah tangan aku pic.twitter.com/mJmTOqqjun
— noyb (@efficiancee) January 14, 2021
Jelas wanita itu, datuknya itu sudah pun berusia 84 tahun dan dia tersasul menyebut nama adik kembarnya, Amira Sara disebabkan rasa ‘nervous’ dan keliru kerana mereka berdua duduk bersebelahan antara satu sama lain.
Walau bagaimanapun, akad nikah tersebut diulang semula dan masing-masing hanya tersenyum lucu dan kembali tenang meneruskan majlis itu.
Perkongsian lucu yang dimuat naik olehnya itu berjaya viral dan meraih perhatian netizen. Rata-ratanya meluahkan rasa terhibur dan berjenaka dengan situasi tersebut. Tak kurang juga ada yang memuji reaksi ‘chill’ pengantin lelaki walaupun hampir sahaja ‘dinikahkan’ dengan orang lain.