Baru-baru ini telah tular sebuah video di TikTok, memaparkan seorang anak yang membuat kejutan kepada ayahnya dengan menghadiahkan sebuah kereta Perodua Bezza baru.
Menerusi video berkenaan, dapat dilihat lelaki yang dikenali sebagai Faizal itu sedang menuding jari ke arah sebuah kereta sekali gus membuatkan ayahnya tertanya-tanya siapakah tuan empunya kenderaan tersebut.
Tanpa berselindung, Faizal dengan segera memberitahu ayahnya bahawa kereta tersebut adalah milik ayahnya serta menghulurkan kunci kereta.
@
Menurut Faizal, ayahnya, Eshak Buyong sebelum ini pernah menyuarakan hasratnya untuk memiliki sebuah kereta baru.
Oleh itu, pada 1 Ramadan yang lalu, Faizal telah menghadiahkan sebuah kereta baru kepada ayahnya kerana ayahnya itu masih lagi menggunakan sebuah Proton Wira yang berusia lebih 20 tahun.
“Abah ada kereta Wira yang sudah digunakan selama lebih 20 tahun. Kereta lama, jadi keadaan tidak berapa elok macam kereta baharu tapi abah gagahkan juga.”
“Saya berazam sejak Oktober lalu nak belikan kereta untuk abah. Jika ikut queue jangka pada Jun tahun ini. Tapi, Alhamdulillah rezeki abah pada bulan Ramadan,” katanya.
Menurut Faizal, sewaktu kejutan itu dibuat, ayahnya seakan-akan tidak puas hati kerana kereta lamanya diparkir di luar garaj dan dia terkejut apabila Faizal memberitahu bahawa kereta Bezza itu adalah kereta baru miliknya.
Oleh kerana teruja dek kejutan, Eshak tanpa membuang masa terus menaiki kenderaan tersebut bersama anak dan cucunya untuk test drive.
Difahamkan, bapa Faizal seorang pesara pekerja kilang yang sering menggunakan kereta untuk ke masjid dan membeli barangan keperluan rumah.
Faizal harap dengan kenderaan baru ini, hari raya kali ini akan menjadi lebih bermakna buat ibu bapanya yang boleh pergi melawat kawan dan saudara-mara dalam keadaan selesa.
“Dapat bahagiakan insan yang telah berjasa pada kita” – Netizen
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen berasa terharu dengan tindakan Faizal yang sempat membalas jasa ayahnya dengan membuat kejutan sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.
Tersenyum tengok video ni, semoga kita semua dapat jadi anak yang berjasa kepada ibu bapa kita..
Baca : [VIDEO] Netizen Tersentuh Tengok Anak Buat ‘Surprise’ Hadiahkan Kereta Sampai Mak Ayah Menangis