Siapapun kita, budi bahasa mestilah diutamakan seperti ungkapan, “orang berbudi, kita berbahasa; orang memberi, kita merasa”.
Apabila melibatkan insiden di jalan raya, selalunya akan berlaku pertelingkahan antara pemandu atau penunggang yang terlibat sehingga boleh mencetuskan kecederaan.
Namun, satu rakaman video insiden di jalan raya yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok telah mencuri perhatian netizen apabila seorang penunggang motosikal datang meminta maaf selepas hampir berlanggar dengan sebuah lori.
@izsmile.yusof nilai la sendiri #fyp #abanglori
Pada awal video berkenaan, lori yang mempunyai dashcam mahu membelok ke kiri ketika melalui bulatan. Secara tiba-tiba, datang penunggang motosikal dari arah kiri lori membelok ke kanan. Situasi itu mengejutkan pemandu lori terbabit, mujur tiada kemalangan yang berlaku.
Beberapa saat kemudian, kedengaran suara penunggang motosikal terbabit datang meminta maaf kepada pemandu lori itu.
Melihat penunggang motosikal itu ikhlas memohon maaf, pemandu lori menasihatinya secara baik agar tidak mengulangi tindakan seperti itu lagi.
“Daripada kiri bahaya tahu. Kalau tadi termasuk bawah lori, panjang ceritanya.
“Tak kira macam mana pun, jangan duduk belah kiri lori. Tolonglah, merayu sangat. Nak cepat macam mana pun, janganlah potong lori dari belah kiri,” ujarnya.
Menjengah di ruangan komen, ramai memuji tindakan kedua-duanya yang dilihat mengambil sikap bertoleransi secara baik.
Dalam pada itu, netizen juga berharap pengguna jalan raya lain turut mendengar nasihat pemandu lori terbabit.
Baca: “Tak sampai seminit settle” – Netizen Puji Cara Wanita Ini Selesaikan Kes Kemalangan