Umum mengetahui bahawa kejohanan piala dunia FIFA (Fédération Internationale de Football Association) yang diadakan di Qatar telah pun bermula semalam (20 November).
Rata-rata peminat bola sepak dari seluruh negara yang akan menyokong negara masing-masing telah pun tiba di sebuah perkampungan rasmi di Doha yang dijangka boleh menempatkan seramai 60,000 orang.
Namun, kawasan penginapan Rawdat Al Jahhaniya yang menghadap Stadium Ahmad bin Ali itu dilaporkan masih menyerupai tapak pembinaan dan dipenuhi mesin industri dan rumput koyak, lapor The Guardian.

Bayar hampir RM1,000
Menurut Kosmo, ada peminat yang meluahkan rasa kecewa melalui media sosial selepas membayar sekitar £170 (RM970) untuk satu malam dan tapak yang disediakan itu bukanlah seperti mereka bayangkan.
Semasa diiklankan, fan village itu dikatakan mempunyai skrin pawagam dan gelanggang tenis, namun kedua-dua kemudahan itu masih belum dilihat oleh peminat bola sepak disana.
Ada peminat telah berkongsikan beberapa buah foto menunjukkan bilik penginapan yang kosong berwarna kelabu dan dihiasi lampu kotak kecil sahaja.
Bagaimanapun, di sekitar tapak berkenaan masih kelihatan plastik hitam dan kotak kadbod yang dilonggokkan oleh pihak pengurusan.


Macam kotak kasut?
Seorang peminat bola sepak dari Wales memberitahu dia membayar sebanyak dua kali ganda wang untuk datang dan lihat negaranya bermain di kejohanan piala dunia ini.
Namun, selepas melihat keadaan tempat penginapannya dia berasa hampa dan kecewa dengan ruang yang disediakan.
“Adakah ini tempat penginapan kami? Kabin logam tanpa pengudaraan, cahaya yang sangat sedikit dan seperti kotak kasut?”
“Tidak banyak ruang untuk bergerak atau menyimpan bagasi anda. Meja juga kecil boleh muat semangkuk popcorn je,” katanya.
Milad Mahmooditar, seorang peminat bola sepak daripada Tehran juga berkongsi pengalamannya menginap di fan village itu, lapor Daily Mail.

Milad yang memiliki ketinggian 182 sentimeter (6 kaki) itu mengalami kesusahan apabila katilnya terlalu kecil untuk dia tidur.
Dia juga mendakwa bahawa unit pendingin hawa yang disediakan itu menghasilkan bunyi bising sehingga menyebabkan dia tidak boleh tidur.
Rata-rata pengunjung meluahkan rasa kecewa dan hampa kerana tempat penginapan yang mereka jangkakan tidak serupa semasa ia diiklankan.
Dijangkakan seramai 1.5 juta pelawat akan berkunjung ke Qatar semasa Piala Dunia tahun ini.
Sumber : DailyMail, The Guardian, Kosmo
Dah bayar mahal-mahal, macam ni pula jadinyaa…
Baca : Ramai ‘Amazed’ Lihat Piala Dunia di Qatar, Majlis Dimulakan Dengan Ayat Suci Al-Quran

