Selepas dikecam hebat oleh pelbagai pihak termasuk ahli politik, persatuan pelajar dan institusi pengajian tinggi, Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) tampil menjelaskan kekeliruan berhubung kenyataan mereka yang mencadangkan supaya program matrikulasi dimansuhkan.
Menurut UMANY, mereka sebenarnya tidak berniat untuk memansuhkan program matrikulasi sepenuhnya, sebaliknya mahu menggabungkannya dengan peperiksaan STPM menggunakan sukatan pelajaran STPM yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Disebabkan penggunaan perkataan “mansuhkan” itu telah menimbulkan salah faham, UMANY tampil memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung.
“Cadangan kami langsung tiada kaitan dengan isu perkauman. Tujuannya hanyalah untuk menambah baik sistem sedia ada supaya lebih adil dan telus,” kata UMANY dalam satu kenyataan.
Artikel berkaitan: Kenyataan Yang Dikeluarkan Oleh UMANY Tidak Mencerminkan Pendirian Rasmi Universiti Malaya – Naib Canselor UM
Artikel berkaitan: KPT Minta Pelajar Daftar Dahulu, Maklum Sekiranya Berdepan Masalah

Dalam pada itu, mereka turut mengingatkan agar ahli politik dan parti-parti tidak memanipulasi isu ini sebagai sentimen perkauman.
Cadangan tersebut diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semalam menerusi satu memorandum, susulan laporan media tentang Edward Wong, pelajar STPM yang dapat CGPA 4.0 tetapi ditolak enam universiti walaupun bercita-cita menjadi akauntan.
UMANY turut meluahkan kebimbangan kerana Wong hanya ditawarkan tempat di Universiti Malaya melalui sistem pengambilan langsung “Satu” yang dikatakan menelan kos sehingga 10 kali ganda lebih mahal.
Dalam masa sama, UMANY menegaskan cadangan peperiksaan bersepadu itu masih akan mengambil kira pelajar dari keluarga kurang berkemampuan bagi memastikan nilai keadilan sosial terus dipelihara.
“Kami percaya kerajaan boleh menetapkan kuota khas untuk bantu golongan memerlukan. Dalam masa sama, pelajar cemerlang dapat bersaing secara adil di platform yang sama,” jelas mereka.
Sumber: Malaysia Gazette