Setiap tempat ada keunikan dan keistimewaan mereka yang tersendiri. Samalah juga dengan sebuah perkampungan di Nigeria ini dimana penduduk mereka bercakap menggunakan bahasa berbeza bergantung pada jantina mereka.
Penduduk di kampung Ubang ini menganggap perbezaan unik mereka itu adalah rahmat daripada Tuhan.
Walaupun tak dipastikan secara terperinci sejauh manakah perbezaan dan inspirasi disebalik penggunaan bahasa terbabit, tetapi beberapa perkataan seperti pakaian digelar ‘nki’ oleh kaum lelaki dan ‘ariga’ bagi kaum wanita.
“Walaupun ada beberapa perkataan sama yang digunakan bagi kedua-dua kaum lelaki dan wanita, ada juga beberapa perkataan yang sama sekali berbeza sehingga ejaannya juga lain sama sekali, kata ahli antropologi, Chi Chi Undie.
Walaupun bercakap menggunakan dua bahasa yang berbeza, lelaki dan wanita di perkampungan ini boleh memahami satu sama lain dengan baik.
Difahamkan, ini terjadi kerana semasa kecil, anak lelaki dan perempuan masing-masing tinggal bersama kedua ibu bapa mereka, menyebabkan mereka sudah terbiasa dengan kedua-dua bahasa berbeza yang digunakan.
Kata Chief Oliver Ibang, walaupun anak lelaki dan perempuan dibesarkan bersama, anak lelaki yang sudah berumur lebih 10 tahun dianggap sepatutnya akan bercakap menggunakan bahasa yang digunakan lelaki-lelaki lain di kampung mereka.
“Tiada siapa yang akan bagitau dia (kanak-kanak lelaki) bilakah waktu tepat untuk mereka menggunakan bahasa yang tepat. Ia akan datang sendiri pada mereka dan ketika itulah mereka dianggap sudah dewasa.
“Jika ada kanak-kanak yang tak menggunakan bahasa yang sepatutnya apabila menginjak ke umur tertentu, mereka akan dianggap pelik,” katanya.
Apabila disoal bilakah bermulanya tradisi penggunaan bahasa berbeza mengikut jantina di Ubang, tak siapa yang dapat memberikan jangka masa tepat. Pun begitu, masyarakat tempatan lebih suka menggunakan teori dari segi agama.
“Tuhan ciptakan Adam dan Hawa dan mereka adalah daripada masyarakat Ubang. Tuhan rancang mahu beri setiap etnik dua bahasa berbeza tapi selepas menciptakan dua bahasa untuk masyarakat Ubang, Tuhan sedar bahasa yang diciptakan tak cukup untuk semua,” kata Chief Oliver Ibang.
“Disebabkan itu, Tuhan berhenti dan kerana itulah, masyarakat Ubang lain daripada orang lain di dunia ini kerana kami mempunyai dua bahasa berbeza,” katanya.
Walau bagaimanapun, disebabkan tradisi masyarakat Ubang ini tidak tertulis secara rasmi dan hanya bergantung pada penyebaran secara lisan, ia semakin pupus. Ditambah pula dengan kebanyakan generasi muda yang tidak fasih berbahasa Ubang dan ada juga yang mencampurkan bahasa Inggeris dan bahasa yang digunakan di Ubang dalam kehidupan seharian.
Sumber: Oddity Central, BBC