Penyitaan beberapa barangan termasuk empat buah kereta mewah di kediaman usahawan sensasi Datuk Seri Vida (DSV) pada Isnin telah mencuri perhatian ramai.
Menurut laporan, tindakan itu dibuat atas tuntutan hutang berjumlah RM1,060,285 oleh syarikat kontraktor selepas usahawan tersebut gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan itu pada tahun 2018.
Artikel berkaitan: Tak Bayar Hutang Lebih RM1 Juta, Aset Milik Datuk Vida Termasuk 4 Buah Kereta Mewah Bakal Dilelong
Dalam perkembangan terbaharu, peguam yang mewakili DSV tampil mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan penyitaan terbabit.
Menurut peguamnya, Datuk Adnan Seman, DSV ketika ini berada di luar negara dan beliau telah menerima dokumen berkaitan pelaksanaan writ penyitaan yang dilakukan.
“Untuk rekod, saya bukanlah peguam yang dilantik mengendalikan kes tuntutan tersebut ketika penghakiman diperoleh oleh pihak penuntut melalui Keputusan Adjudikasi bertarikh 31 Mei 2019. Ketika itu, saya belum menjadi peguam kepada DSV,” katanya.
Beliau juga menyatakan yang DSV mempertikaikan tuntutan tersebut dan langkah undang-undang akan diambil selepas dokumen-dokumen berkaitan diperiksa dengan teliti.
“Saya diarahkan oleh anak guam untuk menyatakan bahawa tuntutan tersebut sememangnya dipertikaikan dan saya akan meneliti semua dokumen berkaitan bagi menentukan tindakan seterusnya di sisi undang-undang.”
Terdahulu, DSV mengambil maklum tentang isu yang sedang heboh ini dan melantik peguam bagi menyelesaikan perkara itu.
“Saya telah melantik peguam untuk menasihati dan membantu saya dalam menyelesaikan perkara ini dengan cara yang terbaik dan mengikut lunas undang-undang.
“Saya amat menghargai sokongan semua pihak dan berharap agar diberi ruang untuk menangani perkara ini dengan tenang dan profesional,” tulisnya di Instagram.
View this post on Instagram
Sementara itu, anaknya yang juga pempengaruh, Cik B meminta orang ramai supaya bertenang dan percaya perkara itu akan selesai tidak lama lagi.
Sumber: Kosmo!