Semalam, tular sebuah video yang memaparkan seorang individu lelaki berbaju merah bertindak memukul kepala seorang wanita yang berada di dalam kereta.
Video berdurasi 59 saat itu memaparkan lelaki berkenaan keluar daripada kereta yang dipandunya lalu mengetuk cermin kenderaan di belakangnya dengan kuat sebelum memarahi pemandu wanita serta memukul kepala mangsa.
Menurut laporan Berita Harian, kejadian itu dipercayai berlaku ketika kedua-dua mereka dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Tapah, Perak.
Untuk video penuh, klik di sini.
Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang semalam itu, pemandu wanita yang berusia 24 tahun itu dilemparkan kata-kata kesat serta ugutan oleh lelaki berkenaan sebelum kepalanya dipukul.
Menurut kenyataan Polis Negeri Perak, suspek berjaya dikesan dan ditahan di sekitar daerah Serdang, Selangor.
“Suspek merupakan lelaki Melayu berusia 29 tahun dan merupakan seorang supervisor kilang di Serdang, Selangor. Suspek akan di bawa ke IPD Tapah, Perak untuk siasatan selanjutnya,” tulisnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, video berkenaan tular di media sosial dengan pelbagai respon daripada netizen dan rata-rata memarahi tindakan individu yang berlagak samseng itu.
Baca: “Kawal kemarahan, jangan bertengkar” – Peguam Kongsi Tips Sekiranya Kereta Dilanggar Dari Belakang