Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga…
Seorang pembantu rumah warga asing yang melarikan diri dan mendakwa didera majikannya ternyata berbohong apabila polis membongkarkan bahawa dia sebenarnya seorang pencuri yang mencuri wang serta barangan berharga daripada majikannya itu.
Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata pembantu rumah itu menceritakan kisah sebak kepada seorang lelaki, mendakwa dia telah didera oleh majikannya.
Kejadian yang berlaku di Taman Pelangi, Johor itu tular selepas lelaki yang ingin membantu wanita tersebut memuat naik video yang memaparkan dia menangis dan meminta tolong kepada orang ramai.
“Kami ingin membatalkan tuntutan itu kerana pada pukul 10.48 malam Selasa, kami menerima laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita berusia 52 tahun yang mengatakan pembantu rumahnya melarikan barang berharga dan wangnya.
Wanita itu berkata pembantu rumahnya melarikan diri dari rumah mereka di Taman Pelangi pada 11.21 pagi Isnin (17 Julai),” kata ACP Raub.
Menurut laporan The Star, difahamkan wanita berkenaan memanjat pagar rumah berkenaan untuk melarikan diri dan mencuri wang serta barangan berharga yang bernilai RM 10,850.
Pihak polis sedang mencari suspek berusia 31 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.