Kecoh di media sosial baru-baru ini, beberapa rakaman video oleh sebuah keluarga dan individu yang membuat pengakuan ajaran sesat mendakwa Nabi Muhammad SAW sebagai tuhan.
Difahamkan ia merupakan ajaran sesat Si Hulk yang telah pun difatwakan sesat dan haram di Johor sejak Julai 2021.
Namun, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mendapati video pengakuan pengikut ajaran terbabit dimuat naik dan dirakam di luar negara, lapor Sinar Harian.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan penguatkuasaan sukar diambil memandangkan individu terlibat dalam video itu berada di luar negara.
“Hasil siasatan mendapati video-video itu dimuat naik dari New Zealand, bila di luar negara mereka di luar bidang kuasa Johor, sebab itu tidak boleh ambil tindakan secara perundangan, itu kesulitan yang perlu difahami,” katanya.
Bagaimanapun, JAINJ akan bekerjasama dengan PDRM dan SKMM untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap ajaran itu seperti menyekat penyebaran video-video oleh golongan terbabit.
Kilang air Si Hulk turut ditutup
Untuk makluman, Si Hulk merupakan singkatan kepada ‘Society of Islamic Holisticism Universal Linkage Knowledge’ dan mula giat beroperasi sebagai perniagaan menjual air minuman yang dicampur madu.
Pengasas ajaran Si Hulk, Suhaini bin Mohamad mendakwa campuran air tersebut mampu merawat sihir dan Covid-19.
Difahamkan, Suhaini juga dikatakan telah melarikan diri ke New Zealand bersama beberapa ahli kumpulan yang lain.
Dalam perkembangan terkini, JAINJ memaklumkan aktiviti perniagaan melibatkan air minuman yang dijalankan golongan itu telah dihentikan setelah beberapa kilangnya yang berada di Johor, Selangor dan Indonesia ditutup.
Orang ramai juga diminta tidak menyokong aktiviti perniagaan dan kemasyarakatan ajaran sesat Si Hulk, bagi melumpuhkan ajaran sesat itu.
Baca: JAKIM Siasat Dakwaan Selebriti Indonesia, Ramai Rakyat Malaysia Sertai Ajaran Sesat Negara Seberang