Tular mengenai seorang pelajar perempuan sekolah rendah didakwa menjadi mangsa buli oleh seorang pelajar lelaki sedarjahnya sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital akibat mengalami kecederaan pada bulan lalu.
Perkara itu didedahkan oleh ibu bapa pelajar berkenaan yang meminta penjelasan dan keadilan selepas mendakwa aduan rasmi melalui SISPAA tidak diendah kerana laporan itu dianggap tidak berasas.
Terbaharu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) berkata, tindakan telah diambil mengikut prosedur standard operasi (SOP) Buli dan Salah Laku kementerian yang turut melibatkan pegawai perhubungan sekolah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Artikel berkaitan: Dihemp*p & Dipuk*l Guna Tali Pinggang, Dr Asyraf Wajdi Arah Pegawai Siasat Video Remaja Didakwa Dibuli Di MRSM
Artikel berkaitan: “Kalau begini cara sekolah, baik tutup je” – Tam Spider Kecewa Sekolah Tak Buang Pembuli
Pihaknya memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku akibat salah faham antara dua murid dan tidak melibatkan unsur buli.
“Pihak sekolah juga telah melawat murid yang terlibat semasa mendapatkan rawatan di hospital dan sesi pemuafakatan antara ibu bapa kedua-dua murid sedang diatur serta akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.
Justeru, JPNT memberi jaminan bahawa isu terbabit akan diselesaikan secara harmoni dan berhemah demi kesejahteraan semua pihak termasuk murid, ibu bapa serta pihak sekolah.
“JPNT juga tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli atau salah laku lain dan akan mengambil tindakan tegas demi menjamin persekitaran sekolah yang selamat,” katanya lagi.
Kes ini juga turut dinaikkan oleh penyanyi rap, Caprice di laman Instagramnya dan difahamkan ibu bapa pelajar terbabit mengambil keputusan untuk memindahkan anak mereka ke sekolah lain demi keselamatan dan kesihatan mentalnya.
Sumber: Sinar Harian, Instagram