Apabila tibanya Ramadan, sudah tentu bazar Ramadan antara tempat yang sering dikunjungi oleh umat Islam di Malaysia untuk membeli juadah berbuka puasa.
Namun, banyak juga harga jualan makanan dan minuman di bazar Ramadan yang menarik perhatian ramai pengunjung kerana dikatakan mahal dan tidak mesra poket.
Seperti yang tular baru-baru ini, sebuah gerai di bazar Ramadan di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur telah menjadi perhatian apabila menjual empat biji karipap dengan harga RM10.
Ramai warganet yang berpendapat harga tersebut mahal kerana ini menjadikan sebiji karipap dijual dengan harga RM2.50.
Susulan itu, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah turun padang menjalankan siasatan selepas menerima aduan mengenai harga sebiji karipap yang dijual dengan harga berkenaan di bazar tersebut.

Artikel Berkaitan: Tahun Baru Cina & Awal Ramadan Bakal ‘Bertembung’, Bos Jual Ikan Ingatkan Pelanggan Beli Lauk Siap-siap
Artikel Berkaitan: “Mula-mula jual air je…” – Tular Deretan Gerai Di Hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Netizen Minta DBKL Bertindak
Hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa KPDN KL mendapati bahawa tanda harga ada dipamerkan dengan jelas dan harga jualan yang ditetapkan adalah RM10 bagi 4 biji karipap bagi setiap jenis.
Seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja gerai tersebut memaklumkan harga jualan adalah sama seperti tahun 2025 dan tiada kenaikan harga berlaku pada tahun ini walaupun pembekal karipap sejuk beku telah menaikkan harga.
Dengan itu, satu notis Pengesahan Maklumat Barangan atau NPMB di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah diserahkan melibatkan lima SKU iaitu Karipap Sardin, Karipap Daging, Karipap Kentang, Karipap Daging BP dan Karipap Ayam.
Dalam masa yang sama, pemantauan akan terus dijalankan oleh pihak KPDN bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan perudangan yang berkuat kuasa agar kepentingan pengguna dapat dilindungi.
Sumber: Facebook KPDN Kuala Lumpur
